Tiada laporan kaitkan pegawai Jakim isu seludup daging beku setakat ini – Dr Zulkifli


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tiga, kiri) menyampaikan barangan asas kepada penerima bantuan pada Majlis Perasmian Kelas Bimbingan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Pusat Gelandangan Dapur Kausar, hari ini. –fotoBERNAMA (2020) HAKCIPTA TERPELIHARA

04/12/2020 07:23 PM

SEREMBAN, 4 Dis — Tiada laporan mengaitkan pembabitan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung isu penyeludupan daging sejuk beku yang menipu label halal dan dijual di pasaran negara, diterima setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagaimanapun berkata susulan kes itu, beliau sentiasa menasihatkan kakitangan di bawah agensinya untuk sentiasa bekerja dengan jujur dan mempunyai intergriti tinggi.



“Insya-Allah, saya tidak akan kata macam tu melainkan apabila ada bukti dan setakat ini, saya bersiqah (yakin)(tiada pegawai terlibat).

Saya juga baru melawat makmal Jakim, Alhamdulillah, apa yang saya lihat kesungguhan itu amat terbukti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kelas bimbingan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pusat Gelandangan, Dapur Kausar, di sini hari ini.

Beliau berkata Jakim akan melakukan pemantauan berterusan melalui kerjasama dengan badan dan kementerian terlibat serta kerajaan negeri masing-masing bagi memastikan isu kehalalan itu jelas.

Dua hari lepas media melaporkan, terdapat sindiket yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor Bahru.



Susulan itu, Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ) Muhammed Farhan Basheer semalam mendesak kerajaan menyiasat secara bersepadu pendedahan wujud kartel yang terbabit dalam penipuan label halal, pemalsuan cap serta pembungkusan semula daging sejuk beku import untuk dijual semula ke pasaran negara.

Dalam pada itu, mengenai kelas bimbingan agama, beliau berkata kerjasama Yadim dan badan bukan kerajaan dalam memberi kesedaran kepada mualaf yang mungkin tercicir dalam mendapatkan ilmu pengetahuan perlu diberi penghargaan.

“Kerjasama seperti ini akan dapat meningkatkan syiar dan kefahaman mereka terhadap Islam,” katanya.

Suspek kegiatan seludup daging sejuk beku akan ditahan dalam masa terdekat – Kastam Johor



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button