Ejen insurans dakwa diperdaya syarikat pelaburan tidak wujud


Supt Mohd Wazir Mohd Yusof

06/12/2020 11:43 AM

KUANTAN, 6 Dis — Tindakan seorang ejen insurans menyertai pelaburan mata wang menerusi media sosial membawa padah, apabila mendakwa kerugian RM21,257 selepas syarikat pelaburan tersebut tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 25 tahun mendakwa mula menyertai pelaburan itu pada pertengahan bulan lepas, selepas melihat iklan di Facebook.

“Mangsa mendakwa berurusan dengan seorang suspek lelaki bagi urusan pendaftaran, sebelum membuat pelaburan sebanyak RM1,200 pada 30 Nov lalu dan terus mendapat keuntungan sebanyak RM100 pada hari yang sama.

“Ia menyebabkan mangsa bersetuju untuk menambah jumlah pelaburan sebanyak RM5,200 pada hari yang sama. Bagaimanapun, mangsa tidak menerima pulangan yang diharapkan menyebabkan dia menghubungi suspek.

“Suspek didakwa memberitahu mangsa bahawa akaun pelaburannya telah dibekukan kerana masalah pentadbiran dan dia perlu menjelaskan bayaran pentadbiran bagi meneruskan pelaburan itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa telah membuat empat transaksi pemindahan wang atas talian seperti diarahkan suspek, sebelum berasa curiga kerana jumlahnya semakin banyak menyebabkan dia cuba menghubungi suspek bagi penjelasan.

Bagaimanapun, mangsa mendakwa gagal menghubungi suspek dan mengesyaki lelaki itu telah menyekat nombor telefonnya menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pesawah rugi RM30,000 diperdaya sindiket Macau Scam

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker