Pusat panggilan judi dalam talian: Tujuh ditahan di Melaka


Gambar fail

06/12/2020 01:49 PM

MELAKA, 6 Dis — Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Kontinjen Melaka menahan tujuh lelaki dipercayai operator pusat panggilan sindiket perjudian dalam talian, di dua unit berasingan sebuah kondominium di Jalan Pelanduk Putih di sini, tiga hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata semua suspek warga tempatan berusia antara 18 dan 23 tahun itu, ditahan di premis berkenaan dalam serbuan kira-kira 4 petang pada Khamis.

Beliau berkata siasatan awal mendapati semua lelaki tersebut berperanan mempromosikan laman web perjudian dan mengendalikan pertaruhan secara dalam talian, melalui laman sesawang tertentu.

“Operator yang mengendalikan aktiviti perjudian itu ditawarkan bayaran gaji dari RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dan dibekalkan beberapa peralatan, bagi menjalankan aktiviti sindiket perjudian tersebut.

“Sindiket perjudian berkenaan menyasarkan pelanggan dalam kalangan warganegara dan carian pelanggan dilakukan melalui laman aplikasi Facebook dan Wechat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah mencari pelanggan dengan mempromosikan laman web perjudian dan apabila pelanggan bersetuju, operator akan menguruskan pertaruhan judi pelanggan melalui dalam talian.

Katanya sindiket yang dipercayai telah beroperasi hampir sebulan itu berjaya ditumpaskan hasil risikan polis selama seminggu berdasarkan maklumat awam.

Mohd Sukri berkata semua suspek terlibat tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka ditahan reman bermula Jumaat lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Sek 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Beliau berkata supek boleh didenda maksimum RM200,000 dan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.

“Polis Melaka memandang serius sebarang aktiviti perjudian dan akan mengambil tindakan tegas ke atas individu serta kumpulan yang terlibat dan usaha berterusan sentiasa dilakukan bagi menghapuskan sindiket perjudian di negeri ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada masyarakat kerana memberi kerjasama dalam memastikan kesejahteraan dan ketenteraman awam di Melaka sentiasa terjamin,” katanya.

Lima warga China jalankan pusat judi dalam talian diberkas

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker