Qatar serah jaminan kerajaan bida penganjuran Piala Asia 2027

04/12/2020 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis — Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) menyerahkan jaminan kerajaan Qatar kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), iaitu sebahagian daripada fasa ketiga bidaan hak penganjuran Piala AFC 2027 selaras keperluan menjayakan sesuatu bidaan.

Menurut kenyataan media QFA, negara Qatar telah menjanjikan komitmen untuk memenuhi semua syarat peraturan menganjurkan kejohanan berkenaan pada piawaian tinggi dan bersedia mematuhi jadual ditetapkan oleh AFC.

“Komitmen ini adalah sebahagian daripada visi nasional Qatar 2030, yang menyokong peningkatan keupayaan negara dalam semua bidang, dengan bantuan pelaburan besar-besaran dalam tahun mendatang.

“Dengan pengalaman QFA dan kepakaran organisasi selama lebih dari dua dekad, jaminan itu mengesahkan keinginan QFA untuk memenuhi semua keperluan penganjuran,” menurut kenyataan itu.

Qatar yang kini dianggap sebagai hab sukan di rantau ini dengan penganjuran Piala Dunia 2022, bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan kejohanan membabitkan penyertaan 24 pasukan dengan keseluruhan 51 perlawanan.

QFA menyerahkan bahagian pertama dokumen bidaannya pada 26 Ogos diikuti bahagian kedua merangkumi keperluan perundangan pada 29 Okt.

Dokumen berkenaan mengandungi semua aspek penganjuran kejohanan berkenaan dan memberi penekanan terhadap keupayaan Qatar dalam menganjurkan acara sukan utama.

Leave a Reply