Polis Jakarta tembak mati enam pengikut Habib Rizieq Shihab

JAKARTA, 7 Dis — Polis Jakarta menembak mati enam pengikut Habib Rizieq Shihab, pemimpin dan pengasas Barisan Pembela Islam (FPI), dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Tol Jakarta-Cikampek Kilometer 50, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Metro Jaya (polis Jakarta) Fadil Imran seperti dipetik agensi berita Antara, berkata dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, kenderaan polis dihimpit sebelum diserang dan ditembak oleh sekumpulan pengikut pemimpin berkenaan.

“Terdapat 10 orang yang melakukan serangan, polis membalas tembakan, enam terbunuh manakala empat lagi melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, peguam FPI, Sugito Atmo Prawiro seperti dipetik media tempatan, mendakwa mereka yang terbunuh itu diserang dan ditembak, bukan sebaliknya.



Pemimpin FPI itu mencetuskan pelbagai kontroversi sejak pulang ke Indonesia dari Arab Saudi pada 10 Nov lalu.

Di sebalik wabak COVID-19 masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda di republik itu, kerajaan ternyata tidak setuju dengan acara yang dihadiri ribuan pengikut ulama tersohor Indonesia itu dalam acara menyambut kepulangannya seperti seorang wira di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di sini.

Selain itu, pengikut FPI didakwa melanggar protokol kesihatan wabak COVID-19 apabila menganjurkan acara keramaian seperti majlis sambutan Maulud Nabi dan melangsungkan acara pernikahan anak perempuan ulama itu.

Di samping itu, banyak pihak termasuk pemimpin politik, pihak keselamatan, netizen malah ulama tersohor Indonesia kurang senang dengan pemimpin FPI itu yang didakwa sering menghina dan memaki-hamun dalam siri ceramahnya terhadap mereka yang tidak sependapat dengannya.



Rizieq Shihab, 55, pulang ke Indonesia selepas lebih tiga tahun berada di Arab Saudi itu, sebelum ini dikaitkan dengan beberapa dakwaan menghina pemimpin Indonesia.

Sejak minggu lepas, pihak polis turut dihalang ribuan pengikut pemimpin FPI itu di rumahnya di Petamburan, Jakarta bagi membawanya ke ibu pejabat polis Jakarta untuk disoal siasat berkaitan perhimpunan besar-besar melibatkannya, yang tidak mematuhi protokol kesihatan COVID-19.

Lelaki ditemukan mati ketika minta sedekah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker