Azerbaijan kini fokus pembinaan semula pasca-perang


Azerbaijan Ambassador to Malaysia, Prof Dr Qaley Allahverdiyev

09/12/2020 09:52 PM

Oleh R.Ravichandran

KUALA LUMPUR, 9 Dis — Duta Azerbaijan ke Malaysia Prof Qaley Allahverdiyev berkata syarikat Malaysia dipelawa untuk meneroka peluang yang ada dalam aktiviti pemulihan semula di wilayah Azerbaijan yang dibebaskan baru-baru ini, setelah diceroboh Armenia selama hampir 30 tahun.



Allahverdiyev berkata di bawah kepemimpinan Presiden Ilham Aliyev, Azerbaijan berjaya membebaskan wilayah Aghdam, Lachin dan Kalbajar tanpa pertumpahan darah.

Katanya banyak infrastruktur sosial dan ekonomi seperti bangunan, jalan raya, tempat ibadat, kediaman, jambatan dan rangkaian komunikasi musnah semasa pencerobohan Armenia.

Allahverdiyev, yang juga Dekan Kor Diplomatik di Malaysia, berkata syarikat Malaysia yang mempunyai kedudukan kewangan dan prestasi baik boleh meneroka peluang dan terlibat sama dalam kerja-kerja pembinaan semula pasca perang itu.

Memetik laporan Agensi Anadolu Azerbaijan berjaya membebaskan lima pusat bandar, empat kota dan 286 perkampungan. Jalan raya baharu juga sedang dibina di Shusha.



Perjanjian tiga hala pada 10 November antara Rusia, Azerbaijan dan Armenia – membolehkan Azerbaijan memiliki semua wilayah yang dibebaskannya, menyebabkan Armenia menyerahkan Aghdam, Lachin dan Kalbajar.

Dianggarkan jumlah kerosakan yang ditanggung Azerbaijan akibat pencerobohan Armenia mencecah ratusan bilion dolar.

“Penilaian akhir jumlah kerosakan akan diumumkan kerajaan Azerbaijan selepas melakukan kajian lapangan bersama pertubuhan antarabangsa yang dipercayai,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di pejabatnya, di sini.

Kerosakan di kota Aghdam, katanya ibarat “Hiroshima Kaukas”.



“Aghdam, yang dulunya didiami 40,000 penduduk pada akhir 1980-an, kini sepi umpama kota hantu. Aghdam adalah kubu Azerbaijan, dekat dengan Khankendi, ibu kota Nagorno-Karabakh,” katanya.

Penjajahan itu juga menyebabkan kerosakan besar terhadap alam sekitar.

“Terlalu banyak kerosakan yang telah dilakukan selama penjajahan … kami terkejut melihat apa yang mereka telah lakukan sepanjang tempoh pencerobohan itu, sebelum mereka berundur rumah dan bangunan turut dibakar,” kata Allahverdiyev.

Menurut beberapa laporan rasmi, terdapat kira-kira 800,000 penduduk Azerbaijan yang melarikan diri dari wilayah yang dijajah sejak tercetusnya perang dengan Armenia sehingga gencatan senjata pada 1994.



Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk pembinaan dan pembangunan semula di kawasan yang dibebaskan sebelum penduduk dapat kembali untuk memulakan hidup baharu.

Menurut beliau kedutaan bersedia memberikan maklumat dan bantuan yang diperlukan sesuai dengan kemampuan, kepada mana-mana syarikat Malaysia yang berminat.

Katanya, Baku sentiasa menghargai pendirian Malaysia yang selama ini menyokong integriti wilayah Azerbaijan.

Azerbaijan, dengan populasi sekitar 10 juta orang, terletak di persimpangan antara Eropah dan Asia. Kedudukan Laut Kaspia di sebelah timur negara ini kaya dengan minyak dan gas, menjadi kekuatan sumber ekonominya – dan PETRONAS juga beroperasi di kawasan itu.



Krisis Nagorno-Karabakh: Armenia, Azerbaijan setuju gencatan senjata sepenuhnya

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button