MBI laksana kaedah bersemuka elak pemohon lesen salah guna kad pengenalan

Hebahkan !!!

Rumaizi Baharin

12/12/2020 01:46 PM

IPOH, 12 Dis — Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menggunakan kaedah bersemuka sebelum memberi kelulusan pembaharuan dan permohonan lesen penjaja, bagi mengelakkan kes penyalahgunaan kad pengenalan individu sudah meninggal dunia.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata, setiap pemohon dikehendaki nenghadirkan diri untuk ditemu duga, sebelum memperoleh kelulusan bagi mengelakkan kes sedemikian.

“Setakat ini kita menerima sebanyak 147 permohonan dan kita akan buat sendiri temu duga, jadi pemohon perlu datang sendiri bukannya sekadar menunjukkan kad pengenalan sahaja.

“Pemohon perlu datang sendiri baru kelulusan akan diberi, jadi tidak akan berlaku salah guna kad pengenalan orang yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ‘Kempen Hijaukan Bumi Kita, Selamatkan Generasi Akan Datang’, anjuran Ahli Majlis Zon Pasir Pinji dengan kerjasama Kelab Lions negeri Perak di sini hari ini.

Semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikesan telah meluluskan pembaharuan dan permohonan lebih 500 lesen penjaja, yang menggunakan kad pengenalan individu sudah meninggal dunia sejak tiga tahun lalu.

Menurut laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1, semakan dalam sistem eLesen DBKL dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati, tujuh permohonan baharu dan 568 pembaharuan lesen penjaja menggunakan kad pengenalan individu sudah meninggal dunia, diluluskan antara 2017 hingga 2019.

Rumaizi berkata tindakan tegas akan dikenakan termasuk membatalkan lesen penjaja, sekiranya terdapat kes dikesan menggunakan kad pengenalan individu telah meninggal dunia, bagi proses pembaharuan atau permohonan lesen di bandar raya ini.

“Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), saya mencadangkan temu duga semua pemohon dengan membuat siasatan, sebelum kelulusan diberikan bagi memastikan pemohon benar wujud bagi mengelakkan berlakunya salah laku dan penipuan,” katanya.

Terdahulu pada program yang diadakan di Padang Housing Trust, Rumaizi turut menanam beberapa spesies pokok teduhan yang mempunyai nilai serapan karbon dan pembebasan oksigen yang tinggi, bagi merealisasikan visi dan misi ke arah Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030.

Leave a Reply

%d bloggers like this: