Tujuh maut, 25 cedera, bas dan lori tangki bertembung di India

16/12/2020 09:29 PM

NEW DELHI, 16 Dis — Sekurang-kurangnya tujuh terbunuh dan 25 yang lain cedera apabila sebuah bas penumpang bertembung dengan lori tangki gas di utara Uttar Pradesh, India pada Rabu, lapor Agensi Berita Xinhua menurut polis.

Kemalangan ngeri itu berlaku di Dhanari di daerah Sambhal, kira-kira 374 kilometer barat laut Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh.

“Hari ini bas penumpang Uttar Pradesh bertembung dengan lori tangki gas di jalan Agra-Moradabad menyebabkan tujuh orang maut dan mencederakan 25 yang lain,” kata pegawai kanan polis Chakresh Mishra.

“Beberapa mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, jumlah korban mungkin akan meningkat.”

Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital terdekat.

Menurut pegawai polis itu, nahas berkenaan menyebabkan keadaan bas dan bahagian depan lori remuk teruk.

“Kerja-kerja menyelamat masih dijalankan dan kami berusaha untuk menghalang orang ramai berada dekat dengan lori tangki gas itu,” kata Mishra.

Nahas kemungkinan berpunca akibat kabus tebal di kawasan itu dan polis sudah pun menjalankan siasatan.

Leave a Reply