Lelaki maut, kenderaan dipandu langgar belakang lori
27/12/2020 02:52 PM
KUANTAN, 27 Dis — Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya melanggar belakang sebuah lori treler yang berada di bahu jalan di Kilometer (km) 4 Jalan Bentong menuju Gombak kira-kira 170 km dari sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata dalam kejadian kira-kira 1.50 pagi itu, mangsa K. Anantha Raj, 24, yang dalam perjalanan dari bandar Bentong ke Gombak dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar belakang lori berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang berasal dari Bentong maut di lokasi kejadian malah kereta Perodua Kancil yang dipandunya mengalami kerosakan hampir keseluruhannya manakala lori tersebut hanya mengalami kerosakan kecil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan, katanya.
Dalam pada itu, Zaiham mengingatkan orang ramai supaya memandu kenderaan dengan mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan sentiasa diselenggara.
Pengusaha lori parah ditetak dua lelaki di Teluk Intan