Bayi dua bulan maut nahas enam kenderaan

Oleh – Syeikh Baran


Bayi dua bulan maut nahas enam kenderaan
KEADAAN kereta yang dinaiki empat sekeluarga akibat dirempuh treler dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Jasin, Melaka.

Hasrat sebuah keluarga mengadakan majlis akikah untuk anak mereka yang berusia dua bulan tidak kesampaian apabila bayi lelaki itu maut dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan, di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Mohamad Sufyan Mohamad Shahizwan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.



Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, nahas membabitkan sebuah treler jenis Scania, sebuah lori jenis Hino serta empat buah kereta jenis Ford Ranger, Perodua Myvi, Perodua Ativa dan Mercedes Benz.

Jelasnya, insiden dipercayai berlaku apabila treler yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun telah hilang kawalan dan merempuh Perodua Ativa yang dinaiki empat sekeluarga termasuk bayi berkenaan di lorong kiri.

“Treler itu kemudiannya merempuh empat kenderaan lain dari belakang. Akibat rempuhan tersebut seramai lapan individu mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan, tengkuk, kaki, bibir, tangan dan dada.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.55 petang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.



Tambahnya, ketika kejadian empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari Putrajaya ke Kluang, Johor untuk mengadakan kenduri akikah untuk mangsa.

“Polis sudah mengambil sampel darah pemandu treler untuk analisa kimia bagi memastikan ada atau tidak kandungan alkohol. Ujian saringan air kencing masih belum dapat dijalankan kerana pemandu treler terpaksa ditahan di hospital akibat tekanan darah rendah,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button