Peguam Guan Eng diberi amaran

 

Oleh Pena Merah

Peguam Guan Eng diberi amaran
Lim Guan Eng hadir bagi pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini memberi amaran kepada pihak pembelaan Lim Guan Eng, yang berdepan kes rasuah supaya tidak bertanya soalan sama terhadap Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, ketika prosiding mencabar kredibiliti saksi utama kes berkenaan.

Azura menyifatkan soalan dikemukakan pembelaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu terhadap Zarul Ahmad yang juga Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), sebagai ‘pusing-pusing’ dengan menggunakan perkataan berbeza.



“Saya fikir pembelaan sudah dapat fakta, maka tak perlu tanya lagi sebab apa yang saya tengok pembelaan tanya soalan sama tetapi ‘pusing-pusing’ menggunakan perkataan berbeza, itu saja.

“Sebab itu saya kata buat hujahan, ada lagi bahagian ‘impeachment’ (cabar kredibiliti saksi) dan kalau teruskan begini saya tidak tahu bila nak habis.

Saya tak risau cuma kena kawal sebab lama sangat (soal balas pembelaan).

“Balik-balik pusing benda sama guna perkataan berbeza sedangkan fakta sudah ada di situ, bagi saya buat hujahan. Daripada mula baik-baik saya sudah dapat fakta sebelum pembelaan meleret.



“Hilang fokus saya, mungkin juga hilang fakta dan lebih baik pembelaan fikir mengenai apa yang dibuat. Mungkin mahu saksi menjawab mengikut kemahuan pembelaan, namun pada akhirnya pihak terbabit yang akan menanggung risiko itu nanti,” katanya.

Prosiding mencabar kredibiliti saksi pendakwaan ke-23 itu untuk menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataan Zarul Ahmad dalam kes penipuan ahli perniagaan, G Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dengan kes rasuah Guan Eng berhubung lot tanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang, berkaitan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Pada 24 Oktober tahun lalu, pihak pembelaan memohon untuk mendapatkan salinan pernyataan Zarul Ahmad kerana kedua-dua dokumen itu diperlukan bagi membolehkan pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibiliti beliau.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta.



Ia bagi membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Guan Eng juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.



Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin, berang selepas pembelaan Guan Eng mendakwa Zarul Ahmad memandang ke arah pendakwaan ketika pemeriksaan utama mencabar kredibiliti saksi itu.

Wan Shaharudin berkata, dakwaan itu dijadikan modal berulang pembelaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang terbabit dalam sesi soal jawab terhadap Zarul Ahmad.

“Saya tidak faham dan itu modal rakan saya (peguam Guan Eng) daripada dulu. Keluar dalam ‘paper’ (surat khabar, Zarul) melihat pihak pendakwaan (ketika disoal pembelaan), saya bukan tengok muka Zarul.

“Cari modal lain kalau nak soal, ini guna modal sama. Daripada hari itu lagi, tak payah kata tengok saya,” katanya.



Penegasan dibuat Wan Shaharudin itu susulan peguam bela Guan Eng, RSN Rayer, meminta Zarul Ahmad tidak memandang pendakwaan ketika menjawab soalan berkaitan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pandang hakim, saya sudah beritahu banyak kali,” kata peguam berkenaan.

Prosiding bersambung Khamis ini. – Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button