60 runtuhan dikesan halang laluan di Bukit Fraser


Jalan Raub-Bukit Fraser

05/01/2021 12:55 AM

KUALA LUMPUR, 4 Jan — Sebanyak 139 runtuhan dikesan di sepanjang laluan naik dan turun Bukit Fraser dengan 60 daripadanya dilaporkan telah menghalang laluan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata perkara ini dikesan selepas Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menggerakkan “response team” ke tempat berlakunya tanah runtuh khususnya di tempat peranginan, Fraser Hill dan Jalan Lama Raub-Bentong untuk membuat penilaian risiko di lapangan.

“Sementara itu, Jalan Lama Raub – Bentong dilaporkan masih ditutup akibat tanah runtuh dan ’response team’ JMG dalam tindakan untuk memasuki kawasan bagi membuat penilaian risiko di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Selain itu katanya, JMG menjalankan pemantauan sebanyak tiga kali setahun di cerun-cerun kritikal yang memerlukan tindakan segera khususnya di Cameron Highlands.

“Tiga puluh satu cerun kritikal dibuat mitigasi oleh JKR serta Jabatan Pengairan dan Saliran dengan peruntukan sebanyak RM31.74 juta,” katanya sambil menambah kerja-kerja mitigasi masih diteruskan.

Menyentuh perancangan tahun ini, beliau berkata JMG bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk menjalankan pemetaan kerentanan risiko tanah runtuh dengan peruntukan sebanyak RM758,000 bagi menyelesaikan isu tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.

Katanya orang ramai berada di kawasan berisiko seperti kawasan pernah mengalami tanah runtuh perlu peka dengan keadaan sekeliling sekiranya berlaku runtuhan atau pergerakan kecil cerun tanah, retakan atau rekahan pada dinding, tembok, tiang rumah, kesan bonggolan, mendapan jalan dan pokok yang berterusan condong.

“Sekiranya perkara itu berlaku, orang ramai boleh menghubungi pihak bekuasa untuk menyalurkan maklumat atau mendapatkan bantuan di talian 05-540 6000 atau 019-389 4757. Kementerian sentiasa bersedia memberi khidmat kepakaran teknikal bagi penilaian ancaman tanah runtuh,” katanya.

Beliau juga berkata cuaca buruk dan hujan berterusan ketika musim monsun timur laut di kebanyakan negeri di Malaysia mampu menimbulkan risiko bencana tanah runtuh di kawasan berbukit tinggi, bercerun dan laluan dengan sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik.

Shamsul Anuar juga berkata tanah runtuh boleh berlaku secara mendadak atau berperingkat-peringkat dalam skala kecil atau besar.

“Hasil kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melalui Projek Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC), faktor geologi, sudut cerun, kawasan tadahan dan saliran, kerja pemotongan lereng bukit yang tidak terkawal serta pembersihan hutan atau ladang telah dikenal pasti sebagai kawasan-kawasan yang terdedah kepada risiko bencana tanah runtuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Leave a Reply