Bacaan surah ar-Rahman oleh ‘Mat Kilau’ tarik perhatian netizen

Kuala Lumpur: “Masya-Allah, Haji Adi Putra (Datuk Adi Putra) mengalunkan surah ar-Rahman. Anugerah dari Ya Wahhab Ya Karim.”

Itu keterangan pada hantaran video yang dimuat naik di aplikasi TikTok @ketukhati_ yang memaparkan pelakon terkenal, Datuk Adi Putra mengaji surah ar-Rahman dengan tarannum Rast.

Adi Putra, 41, atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim berkata, dia tidak menjangka video lama yang pernah dimuat naik itu dikongsikan semula hingga tular.

“Masya-Allah, itu video lama. Dulu saya muat naik dengan tujuan nak mengajak masyarakat kita untuk mengaji dan kembali berpegang kepada al-Quran. Pada zaman yang serba canggih ditambah dengan penggunaan media sosial yang semakin berleluasa tidak dinafikan ada dalam kalangan kita yang leka dan alpa. Jadi, saya berkongsi video itu untuk kita sama-sama kembali cintakan al-Quran.



“Tidak menjangka pula ada yang memuatnaik semula dan berkongsi di media sosial. Saya berharap tujuan itu masih sama. Malah, kalau ditanya saya sekali lagi sekarang, jawapan masih sama. Apabila ia dikongsikan, sekurang-kurangnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain yang melihat dan mendengarnya.

 

 

 

“Malah, bukan itu saja, ada banyak lagi video lama dikongsikan semula seperti video saya mengalunkan azan di sebuah masjid di Sandakan, persembahan nyanyian dengan Opick, klip lakonan drama dan filem serta banyak lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Adi yang kini mencipta fenomena menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, dia pernah berlajar secara khusus dalam pengajian al-Quran dan tarannum selain pernah bersekolah di pondok Pesantren Jagasatru Cirebon, Cirebon, Jawa Barat, Indonesia.

“Saya memang tidak pernah bercakap atau menguar-uarkan di mana dan apa yang saya buat. Ini kerana bidang saya adalah lakonan dan perniagaan, jadi saya perlu tonjolkan itu ke depan. Berbeza dengan pendakwah yang mengajar dan menyampaikan ceramah agama, mereka turut menggunakan platform media sosial untuk tujuan sama.



“Cuma, apabila video ini dikongsikan semula, apa boleh dikatakan saya pernah bersekolah di sekolah pondok Pesantren Jagasatru Cirebon dari usia sembilan tahun hingga usia remaja. Di situ banyak silibus diajar trmasuk persilatan dan mengaji. Soal tarannum tu tidaklah bagus sangat, tapi ada lah tahu beberapa jenis.

“Saya juga baru pulang bagi menziarahi guru di sana selain nak mengeratkan silaturahim selepas dua tahun tidak ke sana akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Video yang dimuat naik itu sudah mencecah lebih 150,000 tontonan, lebih 21,000 tanda suka, lebih 500 komen dan lebih 1,000 perkongsian semula.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker