Firma Jepun Tarik Diri HSR KL-Singapura

 

Oleh – Syeikh Baran


Firma Jepun telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) yang akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, lapor agensi berita Kyodo News pada Khamis.
 
Memetik beberapa sumber Kerajaan Jepun dan Malaysia, serta syarikat swasta yang terlibat, laporan itu menyebut, penarikan diri daripada projek tersebut adalah kerana ia mempunyai risiko yang besar kerana tiada jaminan kewangan dari pihak Kerajaan Malaysia.
 
Antara syarikat yang terbabit, termasuk East Japan Railway Co, sebelum ini menzahirkan harapan agar dapat mengguna sistem keretapi peluru Shinkansen dalam projek HSR tersebut.
 
Dengan penarikan diri syarikat Jepun, pembangunan HSR itu bakal memberi ruang yang lebih luas kepada syarikat China untuk memperkukuhkan lagi tapak mereka dalam pembinaan infrastruktur di Asia Timur, selepas mereka selesai membina laluan keretapi berkelajuan tinggi di Indonesia, dan kini sedang membida untuk projek yang sama di Thailand.
 
Menurut laporan media sebelum ini 15 Januari depan adalah tarikh akhir untuk syarikat yang berminat membuat pembidaan, yang prosesnya telah dimulakan Kerajaan Malaysia pada Julai 2023.
 
Projek itu dikatakan akan menelan belanja sekitar RM100 bilion, tetapi Kerajaan Malaysia berhasrat untuk memberi laluan kepada pembiayaan kewangan, berbanding menyediakan jaminan Kerajaan atau memanjangkan jaminan hutang.
 
Dengan pengunduran syarikat Jepun, sumber tersebut memberitahu, beberapa syarikat tempatan akan berganding bahu dengan firma China dan Eropah untuk membuat pembidaan.
 
Malaysia dan Singapura sebelum ini telah memeterai perjanjian awal pada 2013, yang akan merangkumi pembinaan laluan keretapi berkelajuan tinggi sejauh 350 kilometer, yang mampu memendekkan jarak perjalanan antara kedua-dua bandar raya tersebut kepada 90 minit, berbanding empat jam perjalanan menggunakan kereta.
 
Pada 2021, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membatalkan projek tersebut susulan beban kewangan yang dihadapi Kerajaan Malaysia, namun Perdana Menteri ketika ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memulakan kembali projek tersebut. 
 
Sumber – Astro Awani



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button