V Shem-Wee Kiong mara final Terbuka Thailand Yonex
Goh V Shem (kanan) dan Tan Wee Kiong
16/01/2021 09:04 PM
KUALA LUMPUR, 16 Jan — Bekas beregu nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara ke final pertama sejak November 2019 selepas menewaskan pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-19, 21-10 dalam perlawanan separuh akhir, Kejohanan Badminton Terbuka Thailand Yonex di Impact Arena di Bangkok hari ini.
Beregu profesional negara itu, satu-satunya wakil tunggal Malaysia dalam kejohanan berkenaan, hanya memerlukan 29 minit untuk menundukkan beregu muda Indonesia tersebut dan mereka akan berdepan pasangan nombor tujuh dunia Lee Yang-Wang Chi-Lin pada perlawanan akhir esok.
Gandingan Taiwan itu terpaksa berhempas pulas sebelum menyingkirkan pasangan nombor lapan dunia Choi Solgyu-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 15-21, 21-14, 21-14 dalam perlawanan separuh akhir yang lain.
Wee Kiong menyifatkan kemenangan hari ini sebagai rangsangan besar bagi mereka selepas bergelut untuk meraih pendapatan pada tahun lalu berikutan pembatalan beberapa kejohanan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akibat pendemik COVID-19.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penaja mereka, Yonex dan Top Glove, yang menyalurkan bantuan kewangan dan peralatan supaya mereka dapat terus bermain.
“Sebagai pemain profesional, kami harus menangani banyak perkara sendiri… kami harus mengatur semuanya,” beliau dipetik sebagai berkata di laman web BWF www.bwfbadminton.com.
“Bukan mudah bergelar pemain bebas, bukan hanya kami tetapi juga (pemain profesional lain seperti) Teo (Ee Yi), Ong (Yew Sin), Chan (Peng Soon) dan Goh (Liu Ying). Sekurang-kurangnya kami berjaya mempelajari sesuatu daripada situasi ini,” kata Wee Kiong.
Wee Kiong berharap dapat menampilkan satu lagi aksi cemerlang menentang beregu Taiwan pada final esok.
“Kami akan berusaha mengekalkan standard perlawanan yang tinggi esok. Kami akan kaji permainan lawan kami dan terus fokus,” katanya.
Lee dan Wang memiliki kelebihan dari aspek psikologi berbanding pasangan Malaysia, setelah memperoleh kemenangan dalam pertemuan terakhir mereka di Kejohanan Badminton Indonesia Masters 2020.