PPS polis buat pemantauan di sekolah


Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chung Ling menggunakan cecair pembasmi kuman sambil diperhatikan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor (dua, kanan) semasa meninjau sesi persekolahan yang bermula hari ini di sini hari ini. Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan sesi persekolahan secara bersemuka bermula hari ini hanya melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

20/01/2021 09:33 PM

BUTTERWORTH, 20 Jan — Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa memantau sekolah menengah yang mula dibuka hari ini bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bagi daerah SPU, sebanyak 32 sekolah menengah dibuka semula dengan jumlah pelajar 9,800 orang membabitkan Tingkatan 5 dan 6.

“Saya telah arahkan PPS polis yang terdiri daripada pegawai berpangkat inspektor dan ke atas di daerah SPU untuk hadir menyambut pelajar di sekolah masing-masing setiap hari, dalam masa sama memastikan keadaan persekitaran selamat.

“Selain itu, mereka juga perlu membuat rondaan di dalam kelas bagi memastikan SOP dipatuhi terutama dari segi penjarakan fizikal dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chung Ling yang turut dihadiri pengetuanya Tang Keng Hwa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad ketika dihubungi berkata beliau masih belum menerima data keseluruhan jumlah pelajar dan sekolah yang dibuka hari ini.

Leave a Reply