PKP 1.0 pengalaman kepada pemain KUFC jalani latihan sendiri


Kredit laman FB rasmi KUFC

22/01/2021 03:28 PM

KOTA BHARU, 22 Jan — Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun 2020 memberikan pengalaman kepada pemain Kelantan United (KUFC), untuk melakukan latihan sendiri dengan pemantauan jurulatih melalui aplikasi maya, bagi mempersiapkan diri menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Pemain Pertahanan KUFC Fitri Omar berkata, secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah untuk menjalani latihan sendiri di rumah, memandangkan perkara itu pernah dilakukannya dalam tempoh beberapa bulan apabila kerajaan melaksanakan PKP seluruh negara, sebelum ini.



“Tidak ada perubahan cuma suasana latihan yang berubah, program latihan daripada jurulatih kecergasan telah diatur kepada kami, dan akan dipantau melalui kiriman video.

“Musim lalu suasana berlatih sendiri saya bersama PJ City, namun musim ini bersama KUFC, jadi tidak mempunyai masalah untuk kami pemain mengekalkan kecergasan sebelum dibenarkan untuk latihan bersama pasukan di padang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kerajaan memutuskan PKP di Kelantan dilaksanakan semula bermula 16 hingga 26 Jan, namun dilanjutkan kepada 4 Feb ini susulan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negeri berkenaan.

Fitri berkata program latihan mereka dipantau jurulatih kecergasan Kamarul Dinis, dengan mengatur beberapa program dan meminta pemain sentiasa kemas kini perkembangan latihan, menerusi hantaran video.



“Jurulatih (Kamarul) akan meminta video latihan daripada pemain dari semasa ke semasa, agar setiap program yang dibuat, telah dilakukan oleh pemain,” katanya.

Mengulas lanjut, Fitri bagaimanapun berharap agar PKP yang sedang berkuat kuasa ini tidak dilanjutkan lagi, sehingga menangguhkan saingan Liga Premier yang dijangka bermula pada penghujung Februari.

“Saya harap tiada lagi penangguhan liga, dengan setiap pasukan dibenarkan membuat latihan tetapi diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard ketat, seterusnya memberi tumpuan pada perlawanan yang dijangka bermula hujung Februari nanti,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button