Rokok seludup bernilai lebih RM1 juta dirampas
23/01/2021 04:38 PM
GEORGE TOWN, 23 Jan — Polis menumpaskan sindiket mengedar dan menjual rokok seludup selepas merampas 7,100 karton rokok tanpa cukai bernilai lebih RM1 juta dalam operasi khas membabitkan siri serbuan di sekitar George Town, di sini dua hari lalu (21 Jan).
Operasi tersebut dijalankan anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama polis kontinjen Pulau Pinang.
Pengarah JKDNKA Bukit Aman Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata dalam siri serbuan di lima lokasi bermula 3 petang itu, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 31 hingga 40 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.
“Dalam siri serbuan itu, polis merampas 1,425,000 batang rokok yang diisi dalam 142 kotak mengandungi 7,100 karton rokok seludup yang disembunyikan sindiket tersebut dalam lapan kenderaan di lima lokasi yang kami lakukan serbuan.
“Serbuan itu melibatkan kawasan perumahan termasuk kondominium mewah serta kawasan parkir. Berdasarkan siasatan semua rokok yang dirampas bernilai lebih RM1 juta untuk pasaran di sekitar Pulau Pinang dan negeri wilayah utara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Abdul Rahim berkata polis tidak menolak kemungkinan semua rokok itu diseludup dari beberapa negara namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya ekoran penahanan tiga lelaki itu, polis turut merampas wang tunai RM983,093.98 dipercayai hasil kegiatan penyeludupan rokok seludup oleh sindiket tersebut dan pihaknya kini sedang mengesan beberapa lagi ahli geng berkenaan dipercayai masih berada di sekitar negeri ini.
“Kami juga merampas lapan kenderaan terdiri daripada empat jenis MPV Toyota Avanza, dua van Nissan Vanette dan sebuah van Toyota Hiace serta sebuah lori yang kesemuanya bernilai RM214,000,” katanya.
Beliau berkata tiga lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut dan jumlah keseluruhan rampasan itu ialah RM2.3 juta iaitu iaitu membabitkan rokok termasuk cukai, wang tunai serta kenderaan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang larangan import (rokok), jika sabit kesalahan, hukuman memperuntukkan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai atau RM100,000 sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau RM500,000, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.