Pemimpin parti dalam kerajaan PN puas hati penjelasan mengenai Ordinan Darurat – PM Muhyiddin
Photo Credit : FB Muhyiddin Yassin
24/01/2021 11:00 PM
KUALA LUMPUR, 24 Jan — Pemimpin-pemimpin parti dalam kerajaan Perikatan Nasional berpuas hati dengan penjelasan dan perbincangan mendalam mengenai Ordinan Darurat, pengurusan darurat serta pengurusan pandemik COVID-19 di negara ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini berkata antara yang turut dibincangkan adalah pelan imunisasi vaksin yang akan bermula bulan depan.
“Saya bersyukur mesyuarat berlangsung lebih kurang dua jam dalam suasana akrab dan muhibah serta (semua pihak) menyambut baik taklimat daripada Menteri di Jabatan Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Norhizan Ismail mengenai Proklamasi Darurat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, malam ini.