Beregu lelaki negara berpeluang ke separuh akhir


Ong Yew Sin-Teo Ee Yi Photo Credit Badminton Photo

29/01/2021 12:37 AM

KUALA LUMPUR, 28 Jan — Gandingan profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menghidupkan kembali harapan ke separuh akhir kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) setelah memperoleh kemenangan pada perlawanan kedua peringkat kumpulan di Bangkok, Thailand hari ini.

Pasangan negara yang diletakkan sebagai bukan pilihan berjaya menundukkan beregu England Marcus Ellis-Chris Langridge 21-19, 21-18 dalam perlawanan yang berlangsung di Impact Arena.

Yew Sin-Ee Yi yang tewas kepada beregu ketujuh dunia dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin pada perlawanan pembukaan semalam, perlu mengalahkan satu lagi pasangan England Ben Lane-Sean Vendy dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok untuk layak ke separuh akhir.

“Mata akhir itu adalah penentuan. Jika kami melakukan kesilapan kedudukan jadi 20-19 dan kami akan lebih tertekan. Ia adalah baik kami berjaya tamatkan perlawanan. Perlawanan esok menentukan kami mara ke separuh akhir atau di tempat ketiga, jadi kami akan lakukan yang terbaik,” kata Ee Yi dalam kenyataan di www.bwfbadminton.com.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang bermula dengan baik semalam, tewas kepada gandingan Russia Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 19-21, 16-21 dalam perlawanan peringkat kumpulan B.

Aaron-Wooi Yik juga mempunyai peluang sama, bagaimanapun mereka berdepan tugas berat apabila menentang pasangan kedua dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Bagaimanapun, nasib berbeza buat pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia apabila merekodkan kekalahan keduanya selepas tunduk kepada Viktor Axelsen dari Denmark 15-21, 4-21 dan akan berdepan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan A.

Berdasarkan format, dua pemain teratas kumpulan A dan B setiap kategori akan mara ke peringkat separuh akhir kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$1.5 juta (RM6.068 juta).

Keputusan pusingan kedua peringkat kumpulan:

(Nota: pemain Malaysia kecuali dinyatakan; [  ] pemain pilihan)

Perseorangn lelaki:

Lee Zii Jia kk [1] Viktor Axelsen (DEN) 15-21, 4-21

Beregu lelaki:

Kumpulan A: [4] Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mn Marcus Ellis-Chris Langridge (ENG) 21-19, 21-18

Kumpulan B: [2] Aaron Chia-Soh Wooi Yik kk Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov (RUS) 19-21, 16-21

Beregu wanita:

Kumpulan A: Vivian Hoo-Yap Cheng Wen kk [1] Greysia Polii-Apriyani Rahayu (INA) 17-21, 7-21

: Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean kk [3] Lee So Hee-Shin Seung Chan (KOR) 15-21,17-21

Beregu campuran :

Kumpulan B: Goh Soon Huat-Shevon Lai kk [4] Thom Gicquel-Delphine Delrue (FRA) 17-21, 9-21

Leave a Reply