Jelajah Dunia Akhir: Nasib berbeza buat pemain negara


Lee Zii Jia Credit : Badminton Photo

07a2f756f731738ad4cdce76769fb86c60118dcb7ceccAaron Chia-Soh Wooi Yik Credit : Badminton Photo

28/01/2021 02:19 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jan — Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia sekali lagi tewas kepada Chou Tien Chen dari Taiwan pada perlawanan Kumpulan A, Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF), malam ini.

Zii Jia yang menduduki ranking ke-10 dunia, bangkit dari kekalahan 16-21 pada set pertama untuk mengikat kedudukan dengan kemenangan 21-12 pada perlawanan yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok.

Bagaimanapun, pemain nombor dua dunia itu membuktikan kehebatannya sekali lagi untuk memenangi set penentuan 21-11 untuk mendapatkan mata dalam perlawanan yang berlangsung hampir satu jam, menurut laman web BWF https://bwfbadminton.com.

Ini adalah kekalahan kelima Zii Jia kepada Tien Chen, selepas mencatatkan 17-21, 15-21 dalam aksi suku akhir Terbuka Thailand Yonex dua minggu lalu.

Esok, Zii Jia akan berdepan pilihan pertama Viktor Axelsen dari Denmark, yang berada dalam keadaan baik selepas memenangi Terbuka Thailand Yonex dan Terbuka Thailand Toyota, sebelum mengakhiri perlawanan kumpulan menentang pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting pada Jumaat.

Hanya dua pemain utama dari setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Sementara itu, pasangan lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengekalkan momentum yang baik dengan menundukkan beregu kelapan dunia, Choi Solygu-Seo Seung Jae 21-14, 21-19 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B.

“Kami gembira dengan persembahan kami hari ini dan kami berjaya meraih kemenangan pertama kumpulan, jadi ini dapat membina keyakinan kami untuk dua perlawanan berikutnya. Melihat kepada percaturan ini, mungkin lebih sukar daripada Kumpulan A, tetapi semua lapan beregu ini mempunyai kekuatan yang sama,” kata Aaron.

Namun, nasib tidak memihak gandingan profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang tewas 18-21, 22-24 kepada pilihan utama kejohanan Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan dalam Kumpulan A.

Bagaimanapun, kedua-dua beregu itu tidak sukar untuk mendapatkan mata esok, kerana Aaron-Soh dijadual menentang beregu Rusia Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov, sementara Ong-Teo akan menentang Marcus Ellis-Chris Langridge dari England.

Dalam perlawanan beregu wanita Kumpulan A, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean memperoleh mata pertama mereka dengan mengatasi rakan senegara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen 21-16, 10-21, 21-15.

Tugas getir menanti kedua-dua beregu itu esok, Vivian-Yap yang merupakan pilihan utama berdepan beregu nombor lapan dunia Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia, sementara Chow-Lee menentang pilihan ketiga Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan.

Dalam acara beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie bangkit dalam set penentuan untuk mengatasi Mark Lamfuss-Isabel Herttrich dari Jerman 14-21, 21-18, 21-18.

Leave a Reply