Edar 1.58kg kanabis & tanam kanabis, isteri ahli politik didakwa

Hebahkan !!!

01/02/2021 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb — Isteri seorang ahli politik hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di sini, atas tiga pertuduhan mengedar dan menanam dadah jenis kanabis di rumahnya.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Lyiana Roslee, 34, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Anuar, kerana kes melibatkan hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lyiana bersama dengan seorang lagi yang masih belum dituduh, didakwa telah mengedar dadah jenis Kanabis anggaran berat 1,580.4 gram dan mengedar cecair jenis dadah sama berisipadu 7.87 liter di sebuah rumah di Duta Residensi, Ampang, di sini pada 7.30 malam, 20 Jan.

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh bersama dengan seorang lagi yang masih belum dituduh, didakwa menanam sembilan pokok disyaki pokok kanabis di tempat, tarikh dan masa sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(A)(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Nur Mustanir Md Nor.

Mahkamah menetapkan 16 Feb untuk sebutan semula kes. Tertuduh ditahan di Penjara Kajang.

Bernama sebelum ini melaporkan, seorang ahli politik yang juga ahli perniagaan ditahan, kerana disyaki memproses dan mengedar dadah di Pudu, selain menyerbu rumah suspek di Ampang.

Turut ditahan di dalam serbuan tersebut adalah, isteri serta pembantu rumah suspek.

Leave a Reply

%d bloggers like this: