Semua rakyat Iran dijangka terima suntikan vaksin COVID-19 menjelang musim sejuk 2022

02/02/2021 09:48 AM

TEHRAN, 2 Feb — Pemberian suntikan vaksin COVID-19 untuk rakyat Iran dijangka selesai menjelang musim sejuk 2022, kata Setiausaha Jabatan Pembangunan Bioteknologi di Pejabat Presiden Iran pada Isnin.

Mostafa Qanei berkata Iran akan menyediakan kira-kira 16 juta dos vaksin melalui program COVAX Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 25 juta dos diimport manakala 25 juta lagi melalui pengeluaran dalam negeri, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

Beliau berkata kumpulan pertama penerima vaksin diutamakan kepada petugas kakitangan kesihatan dan perubatan, orang kurang upaya serta veteran perang kurang upaya.

Pada musim bunga tahun ini pula suntikan akan diberikan kepada golongan berusia lebih 65 tahun, golongan mempunyai penyakit (berumur 16-64 tahun) dan mereka yang berurusan dengan orang ramai atas sebab pekerjaan.

Kumpulan lain akan disuntik pada musim panas dan musim gugur 2021, merangkumi penduduk di tempat yang padat dan warga berusia antara 55 hingga 65 tahun yang tidak mempunyai penyakit.

Merujuk kepada vaksin dihasilkan Iran bersama Cuba, Qanei berkata sembilan syarikat Iran sedang membangunkan vaksin COVID-19, tiga daripadanya kini sudah mencapai fasa percubaan klinikal.

Katanya, UNICEF telah mengiktiraf Iran sebagai satu daripada pengeluar vaksin COVID-19.

Leave a Reply