Misi ke Marikh bukti negara Arab mampu terokai angkasa lepas

09/02/2021 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb — Misi ke Marikh membuktikan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan dunia Arab mampu meneroka angkasa lepas sekali gus menyumbang kepada kehidupan manusia.

Menurut kedutaan UAE di Malaysia, misi pertama UAE ke Marikh, dikenali ‘Hope probe’ adalah pelaburan masa depan selain menjadi sumber inspirasi kepada golongan belia untuk berani meneroka dunia angkasa lepas.



“Hope probe membawa mesej kepada generasi akan datang bahawa tiada yang mustahil. Dengan tekad dan kemahuan, manusia dapat mengubah halangan menjadi peluang,” memetik kenyataan UAE kepada Bernama.

Misi ke Marikh itu adalah yang pertama dilakukan negara Arab yang membawa aspirasi kepada jutaan penduduk di 56 negara Arab dan Islam sekali gus memahat nama negara Arab di peta angkasa global.

Hope probe menempuh perjalanan lebih 493 juta kilometer dari Bumi ke orbitnya di sekitar Marikh dan berjaya sampai ke orbit Marikh hari ini (9 Feb), menyaksikan UAE negara kelima di dunia berjaya tiba ke Planet Merah itu.

Pasukan Misi Marikh berjaya mengharungi pelbagai cabaran, termasuk pemindahannya dari Dubai ke lokasi pelancarannya di Pulau Tanegashima di Jepun semasa pandemik COVID-19.



“Misi ini banyak menyumbang kepada kemanusiaan, khususnya kepada komuniti saintifik global,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa data Marikh yang dikumpulkan oleh penyelidikan itu akan dikongsi dengan lebih 200 pusat penyelidikan dan institusi saintifik di seluruh dunia .

Hope probe dibangunkan selama enam tahun, separuh daripadanya tempoh misi konvensional, dan ketibaannya ke orbit Marikh pada 2021 bertepatan sempena ulang tahun ke-50 UAE.

“Misi telah menjalin 15 perkongsian global dengan universiti dan pusat penyelidikan,” katanya, sambil menambah 66 komponen penyelidikan dibuat di UAE.

Penerbangan Tianwen-1 cecah 400 juta km



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button