Polis kesan lelaki tunggang motosikal lawan arus guna motosikal curi

12/02/2021 06:10 PM

BUKIT MERTAJAM, 12 Feb — Polis sedang mengesan seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal dipercayai dicurinya, secara melawan arus di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), di sini dan video kejadian tersebut tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata polis menerima laporan berhubung video tular tersebut yang memaparkan aksi seorang lelaki menunggang motosikal secara melawan arus dari arah Permatang Pauh ke Seberang Jaya.

“Video berdurasi kira-kira seminit itu memaparkan seorang lelaki menunggang secara bersendirian di lorong tengah lebuh raya dipercayai dirakam oleh pemandu dari arah jalan bersebelahan pada 6.10 petang semalam sebelum ia tular,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, polis kemudiannya dimaklumkan bahawa polis peronda lebuh raya telah menemukan sebuah motosikal ditinggalkan di KM8.4 BKE dan siasatan awal pada nombor pendaftaran kenderaan itu mendapati ia bersangkut dengan satu laporan kehilangan motosikal di kawasan Perai, semalam.

Shafee berkata setakat ini, polis belum menerima sebarang aduan dibuat oleh perakam atau mana-mana individu yang mempunyai butiran maklumat penunggang motosikal berkenaan dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menahan dua lelaki berusia 21 dan 28 tahun kerana menunggang motosikal dan memandu kereta dalam keadaan mabuk di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), dalam satu operasi yang pada 8 hingga 11 malam tadi.

Beliau berkata dua lelaki itu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply