Dakwaan gangguan seksual di sekatan jalan raya, anggota trafik KL disiasat


Datuk Saiful Azly Kamaruddin

13/02/2021 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb — Siasatan ke atas dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wanita semasa sekatan jalan raya di Jalan Duta, di sini, melibatkan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sedang dijalankan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang wanita mengenai perkara itu yang tular di media sosial hari ini.



“Siasatan sedang dijalankan melibatkan seorang anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya mengesahkan polis menerima satu laporan berkaitan gangguan seksual melibatkan anggota polis semasa sekatan jalan raya, dan pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

“Ya, pihak JIPS memang ada terima laporan dan ia sedang disiasat,” katanya ringkas kepada Bernama.

Hari ini, tular di media sosial seorang wanita dalam ciapan Twitternya mendakwa beberapa anggota polis cuba mengugutnya, selain terima gangguan seksual semasa di sekatan jalan raya Jalan Duta.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata kejadian berlaku apabila pengadu yang merupakan seorang wanita berumur 23 tahun ditahan oleh seorang anggota polis semasa melalui SJR tersebut pada kira-kira jam 7.30 malam semalam, sebelum diminta mengemukakan lesen memandu.

“Pengadu mendakwa didatangi seorang anggota polis yang memintanya menunjukkan buah dada selain mengugut akan mengeluarkan saman sekiranya pengadu enggan.

“Pengadu juga telah diminta oleh anggota polis berkenaan untuk memberikan nombor telefon miliknya sebelum dibenarkan beredar setelah ketulenan identiti kad pengadu selesai diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anuar menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.



Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan, katanya.

Lelaki samun dan cabul pelajar perempuan, ditahan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button