Trauma tragedi kepala air, mangsa banjir segera pindah

BALING: Pengalaman perit berdepan tragedi kepala air dan banjir yang meragut nyawa, baru-baru ini, masih menghantui penduduk di daerah ini sehingga kerap dicengkam perasaan berdebar-debar apabila awan mendung dan trauma setiap kali hujan lebat.

Malah, rata-rata penduduk yang ditemui mengaku takut dan bimbang insiden buruk seumpama itu akan berulang, justeru enggan berlengah untuk segera berpindah menyelamatkan diri apabila banjir kilat melanda.

Dalam kejadian terbaru, semalam, penduduk Kampung Padang Empang, Kupang, di sini, sekali lagi menempuh detik cemas apabila rumah mereka dinaiki air selepas hujan lebat berterusan selama kira-kira tiga jam.



Seorang mangsa banjir kilat di kampung itu, Zaharah Ismail, 62, berkata kediamannya sekali lagi dimasuki air selepas mengalami tragedi kepala air dan banjir pada 4 Julai lalu.

Beliau berkata, air naik dengan pantas hingga mencecah satu meter (m) menyebabkan mereka sekeluarga segera berpindah ke tempat selamat sebelum berlindung di dewan orang ramai di kampung itu.

“Air Sungai Kupang melimpah dengan cepat dengan arus sangat deras. Kami sekeluarga tidak berlengah menyelamatkan diri kerana bimbang berlaku kejadian lebih buruk.

“Memang masih terasa perit dan takut dengan kejadian lalu. Sejak itu, kami tidak lagi berani tinggal di rumah apabila dinaiki air. Lebih baik menyelamatkan diri lebih awal walaupun tidak sempat menyelamatkan barang, kerana kami bimbang terperangkap pada waktu malam,” katanya.



Warga emas itu memaklumkan dalam insiden sebelum ini, mereka empat beranak terperangkap di dalam rumah dan terpaksa memanjat siling untuk naik ke atas bumbung demi menyelamatkan diri.

“Justeru setiap kali hujan, saya menjadi trauma kerana bimbang akan berlaku kejadian buruk yang teruk.

“Kadang-kadang, terasa takut hendak pulang ke rumah kerana bimbang berlaku tragedi lebih buruk, selain tidak tahu akan tahap keselamatan penduduk,” katanya.



Seorang lagi penduduk, Aminah Che Meh, 46, berkata kediamannya ditenggelami air kira-kira jam 8 malam tadi menyebabkan beliau sekeluarga mengambil keputusan untuk segera berpindah.

“Kami bimbang terperangkap kerana masih trauma dengan tragedi kepala air dan banjir tempoh hari. Apabila hujan lebat, kami mulai berasa takut kerana bimbang kejadian yang berlaku sekelip mata itu akan berulang lagi. Malah sekarang, setiap kali melihat awan gelap saja, hati sudah berasa berdebar-debar.

“Oleh itu, kami sekeluarga nekad berpindah untuk menyelamatkan diri kerana tidak berani menunggu di rumah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim, berkata seramai 58 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, setakat ini.



Beliau berkata, penduduk terbabit berpindah sejak jam 10 malam tadi apabila rumah mereka dinaiki air hingga mencecah satu meter.

“Setakat pagi ini, semua mangsa ditempatkan di sebuah PPS saja. Tiada laporan kemalangan jiwa kerana semua anggota keselamatan mengambil langkah awal mengarahkan penduduk berpindah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading