Kelibat buaya muncul lagi di perairan Port Dickson

Port Dickson: Kemunculan buaya di sekitar pantai Port Dickson bukanlah satu perkara baru kerana ia sememangnya wujud di sini.

Petang semalam, tular satu video seekor buaya kelihatan berenang tidak jauh di perairan di bandar Port Dickson berhampiran Benteng Malam.

Menurut pengunjung Benteng Malam, Fauzi Ahmad, 46, dia berada tidak jauh daripada Benteng Malam ketika terdengar seorang nelayan memberitahu ada buaya.



“Memang saya pernah dengar wujudnya buaya air masin di kawasan Port Dickson tetapi ini kali pertama saya nampak buaya secara jelas sedang berenang di kawasan ini.

“Buaya ini tidaklah besar tetapi rasanya ia sepanjang dua meter dan dipercayai sudah biasa dengan air masin. Pastinya kehadiran buaya ini membimbangkan nelayan serta pengunjung pantai,” katanya.

Katanya, dia berharap agar pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menangkap buaya ini segera.

“Port Dickson adalah kawasan yang terkenal sebagai pantai peranginan yang disukai pengunjung dan pastinya kehadiran buaya di kawasan ini amat membimbangkan.



“Kita berharap pihak berwajib dapat bertindak segera kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku yang membahayakan keselamatan orang ramai yang berkelah di sepanjang pantai ini dan juga nelayan di kawasan ini,” ujarnya.

Fauzi berkata, dia berharap agar isu buaya berkeliaran di kawasan Pantai Port Dickson tidak diambil mudah pihak berwajib.

Semalam, tular video seekor buaya sedang berenang sekitar jam 5.30 petang semalam dan dimuat naik di Facebook (FB).

Hantaran ini mendapat perhatian ramai warganet dan menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana bimbang ada yang menjadi mangsa.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button