‘Kami trauma, lebih baik selamatkan diri awal’



Baling: “Kami masih trauma dengan kejadian (banjir) lalu, lebih baik selamatkan diri awal meskipun tidak sempat menyelamatkan barang kerana bimbang terperangkap jika sudah malam,” kata Zaharah Ismail, 62.

Zaharah antara penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang di sini, selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir.

Dia berkata, hujan lebat selama tiga jam malam tadi menyebabkan rumahnya dimasuki air kali kedua selepas tragedi kepala air dan banjir, 4 Julai lalu.

“Kami sekeluarga tidak berlengah lagi untuk menyelamatkan diri kerana bimbang kejadian lebih buruk.



“Ketika banjir tempoh hari, kami empat beranak terperangkap dalam rumah dan terpaksa memanjat bumbung untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam pada itu, Aminah Che Meh, 46, berkata, air mula masuk ke rumahnya sekitar 8 malam tadi menyebabkan dia mengambil keputusan berpindah segera.

“Hujan lebat menyebabkan kami takut dan bimbang sekiranya berlaku banjir seperti awal bulan ini (4 Julai).

“Kami sekeluarga segera menyelamatkan diri dan tidak berani lagi tinggal di rumah,” katanya.



Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Baling Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, seramai 19 keluarga membabitkan 58 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, Kupang.

Beliau berkata, penduduk berpindah sejak jam 10 malam tadi apabila rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker