‘JomSelangor Virtual Challenge 2021’ tawar 5,000 pingat


Kredit: https://www.jomrun.com/event/Jom-Selangor-Virtual-Challenge-2021

17/02/2021 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Berikutan penglibatan orang ramai dalam aktiviti bersukan bagi mengamalkan gaya hidup sihat terus terjejas berikutan pandemik COVID-19, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor (JBSN Selangor) mengambil inisiatif untuk menganjurkan ‘JomSelangor Virtual Challenge 2021’ bermula 14 Mac hingga 14 April.

JBSN Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara yang dianjurkan dengan kerjasama kelab larian Jom Run itu, melibatkan larian 5 km dan 21 km, manakala berbasikal membabitkan jarak 5 km dan 30 km yang diadakan secara maya.



Peminat aktiviti sukan larian dan berbasikal dari seluruh negara boleh menyertai acara itu secara percuma, dan 5,000 peserta pertama akan menerima pingat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata sekiranya ia mendapat penyertaan yang memberangsangkan, pihaknya akan menganjurkan lebih banyak acara sedemikian dengan kerjasama pihak swasta dan JBSN lain.

“Berikutan pandemik COVID-19, semua acara berbentuk massa kita buat secara dalam talian, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ada banyak batas yang kita perlu patuhi, tetapi untuk aktiviti secara peribadi tanpa sentuhan ia dibolehkan.

“Kita buat acara secara individu tetapi bertanding secara beramai-ramai,” katanya ketika pelancaran di Menara KBS, Putrajaya hari ini.



ABK 2020 diadakan secara maya, penyokong berpeluang mengundi – MFL

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button