Pengendali pusat boling rayu kerajaan untuk beroperasi selamatkan 2,000 pekerja

18/02/2021 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Pengendali pusat boling merayu kepada kerajaan agar membenarkan mereka beroperasi secepat mungkin untuk melindungi mata pencarian kira-kira 2,000 pekerja yang terlibat.

Dalam sidang media secara maya hari ini, kumpulan itu yang diwakili Penolong Pengurus Besar Sunway Megalanes Michelle Wong, Pengurus Pemasaran Ampang Superbowl Mustafa Yassin, Pengurus Lite Superbowl Centre Wan Muhd Fauzwan, Pengarah U Bowl John Wang, Pengurus KL Megalanes Centre Zulmazlan Zulkifli dan Pengurus Mega Bowling Centre Adrian Charles Dragon, berkata majoriti kakitangan yang terjejas adalah warga Malaysia.



Mereka berkata penutupan selama 160 hari berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada Mac tahun lepas, telah memberi kerugian yang besar kepada pengendali kerana sebahagian tidak tertakluk di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) 2020, terpaksa mengurangkan pekerja, memotong gaji atau tiada pendapatan sekiranya pusat boling ditutup.

“Terdapat kira-kira 90 pusat boling di seluruh negara dengan kira-kira 2,000 kakitangan yang bekerja di pelbagai jabatan. Kami boleh mengatakan semua pusat masih membayar sewa walaupun tidak beroperasi, hanya sebahagian mendapat potongan bagi bayaran sewa.

“Kami berharap semua pusat ini akan dibenarkan beroperasi tidak lama lagi. Boling adalah sukan yang tidak bersentuhan dan kami mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti penjarakan fizikal, mensanitasi bola boling dan kasut dan memastikan pemakaian pelitup muka,” kata Michelle.

Sementara itu, Mustafa juga berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membenarkan mereka untuk beroperasi dengan SOP khusus yang digubal bagi pusat boling sama seperti yang digunakan di gimnasium.



“Secara purata untuk mengendalikan pusat bersaiz sederhana dengan 24 lorong melibatkan kos kira-kira RM80,000 sebulan untuk sewa, elektrik dan gaji tanpa mengambil kira lokasi dan faktor lain, jadi jika dihadkan kepada 10 orang, kami terpaksa menanggung kerugian.

“Sudah pasti kami mahu SOP direka untuk pusat boling berdasarkan kapasiti, seperti tidak melebihi 30 peratus daripada kapasiti penuh kerana kami sebenarnya mematuhi SOP,” katanya.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok berkata pusat boling di negara ini amat mematuhi SOP dan tiada aduan mengenai masalah atau kes yang dilaporkan di mana-mana pusat tersebut.

“Adalah baik jika pusat dibenarkan beroperasi dengan SOP terperinci khusus untuk boling dan berdasarkan kapasiti. Ia boleh dikekalkan dengan cara yang selamat.



“Kami berhubung rapat dengan Majlis Sukan Negara, mereka telah memaklumkan kepada kami bahawa Menteri Belia dan Sukan Datuk Reezal Merican Naina Merican berjanji untuk membangkitkan perkara ini kepada MKN dalam mesyuarat hari ini. Kami berharap mendapat berita baik untuk membolehkan pusat beroperasi tidak lama lagi,” katanya.

Pelaksanaan PKP tidak jejas prestasi atlet boling padang negara

 




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading