WHO ikrar pertingkat tindak balas cegah Ebola, COVID-19 di Afrika
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
19/02/2021 01:12 PM
NAIROBI, 18 Feb — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menggerakkan sumber kewangan dan kepakaran teknikal untuk meningkatkan langkah memerangi Ebola dan COVID-19 di Afrika berikutan sistem kesihatan awam di benua itu yang semakin terancam, kata seorang pegawai pada Khamis.
Pengarah Serantau WHO untuk Afrika, Matshidiso Moeti berkata meningkatkan keupayaan tindak balas terhadap dua penyakit berjangkit penting untuk mencegah krisis kesihatan awam berpanjangan yang boleh menyebabkan lebih banyak kematian.
“Tindakan pantas kita bersama sangat penting untuk mencegah penularan tidak terkawal Ebola di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang menyebabkan petugas kesihatan terpaksa berhempas pulas,” kata Moeti dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Nairobi.
Sejak wabak Ebola dilaporkan di Guinea dan Republik Demokratik Kongo (DRC), WHO dan rakan kongsinya telah meningkatkan langkah-langkah mitigasi untuk mengekang penularan penyakit demam berdarah.
Moeti mengatakan tiga kes Ebola dikesan di sebuah desa terpencil di Guinea, sementara di DRC, empat kes dilaporkan, termasuk dua kematian.
Beliau berkata WHO akan segera mengumpulkan sekumpulan pakar untuk menyokong pihak berkuasa negara dalam memerangi Ebola dan mencegah jangkitan paling meluas termasuk memerangi COVID-19.
“Bila pakar dan bekalan kecemasan tiba, tindak balas akan lebih hebat,” kata Moeti sambil menjelaskan sistem kawalan penyakit yang kukuh ketika wabak Ebola di Afrika Barat pada 2014 telah menguatkan tindak balas terhadap wabak semasa.