Bosan ‘sarkas’ keliling AC/DC


© Provided by Harian Metro AC/DC kini dianggotai (dari kiri), Williams, Rudd, Angus, Johnson dan Stevie.riadz

AC/DC adalah band rock legenda yang unik. Sejak tampil dengan album pertama, High Voltage pada 1976, imej dan muzik mereka tidak banyak berubah hingga hari ini.

Ketua kumpulan dan pemain gitarnya, Angus Young yang kini berusia 65 tahun masih kekal dengan imej memakai uniform sekolah setiap kali mengadakan persembahan atau muncul dalam mana-mana acara serta sesi fotografi.

Pada 19 Februari 1980, AC/DC yang ketika itu baru mendaki populariti global menerusi album kelima, Highway To Hell kehilangan penyanyinya, Bon Scott yang meninggal dunia.

Namun, beberapa bulan sebelum pemergiannya, Scott memberi ‘bayangan’ seolah-olah’ dia akan ‘pergi’ meninggalkan AC/DC selepas menghasilkan album Highway To Hell.

Perkara itu didedahkan rakannya, Sam See dalam satu temu bual.

Sam yang bersama Scott dalam band Fraternity sebelum penyanyi itu menyertai AC/DC berkata, Scott yang bertemunya ketika pulang ke Australia waktu itu memaklumkan dia sudah bosan dengan ‘sarkas’ yang berlaku di sekeliling AC/DC.

“Saya selalu berfikir ia agak menyeramkan. Dia berkata kepada saya yang dia sudah puas dan bosan dengan semua ‘sarkas’ itu. Namun, dalam masa sama ketika itu dia sudah berjaya dengan AC/DC dan memiliki wang yang banyak serta mampu untuk membeli sebuah pub. Saya tak tahu kenapa dia berkata begitu.

“Itu kali terakhir dia pulang ke Australia dan dia berjumpa ramai kawan sebelum kembali ke London,” kata Sam yang juga pemain gitar dan keyboard Fraternity.

Bagi Sam, walaupun Scott banyak mengambil alkohol dan merokok, dia seorang rakan yang baik.

“Dia memang ditakdirkan untuk menjadi bintang rock. Dia juga lelaki baik yang suka berhibur,” katanya.

Bagaimanapun, tabiat itu yang akhirnya meragut nyawa Scott apabila dia ditemui mati dalam kereta rakannya di East Dulwich, London pada 19 Februari 1980.

Pada malam sebelumnya, Scott mengambil alkohol secara berlebihan ketika berhibur di Music Machine di utara London.

Dia kemudian dibawa ke Hospital King College, London dan disahkan meninggal dunia.

Namun, kematian Scott bukan titik noktah buat band rock & roll dari Sydney, Australia itu.

Pengganti Scott, Brian Johnson turut memiliki aura hebat. Buktinya, album pertama bersama Johnson iaitu Back In Black pada 1980 meletakkan AC/DC di tingkat lebih tinggi lagi.

Hingga hari ini, ia terjual lebih 50 juta unit di seluruh dunia dan diiktiraf sebagai antara album paling laris sepanjang zaman.

Selain Johnson dan Angus, AC/DC kini dianggotai Phil Rudd (dram), Cliff Williams (bass) dan Stevie Young (gitar).

Pemain gitar, Malcolm Young meninggal dunia di Sydney pada 18 November 2017 akibat dementia. Beliau bersama adiknya, Angus menubuhkan AC/DC pada 1973.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *