49 ditahan dalam Operasi Bersepadu SPU

25/02/2021 06:43 PM

KEPALA BATAS, 25 Feb — Sebanyak 49 pekerja pembinaan ditahan menerusi Operasi Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tapak pembinaan perumahan dekat Bertam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata kesemua mereka berusia 18 hingga 60 tahun ditahan kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.



“Semasa serbuan, beberapa pasukan penguat kuasa daripada pelbagai agensi kerajaan berjaya menangkap 10 pekerja pembinaan yang cuba melarikan diri disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Beliau berkata operasi bersepadu itu melibatkan 82 pegawai penguat kuasa dari agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBPP), Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU.

Noorzainy berkata daripada pekerja asing yang ditahan itu, 20 daripadanya didapati tidak melakukan ujian saringan COVID-19 terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

“Untuk pengetahuan, operasi ini dilaksanakan sekitar daerah SPU malah pemantauan polis ke atas kawasan tapak-tapak pembinaan tersebut dilakukan sejak seminggu yang lalu,” katanya.



Sementara itu, Pengarah CIDB Zahidi Hashim berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas pemaju projek pembinaan tersebut dan telah mengeluarkan notis memohon maklumat daripada kontraktor utama dan sub kontraktor berkenaan pekerja yang berada di tapak pembinaan itu.

“Dari segi pematuhan SOP untuk pekerja di tapak pembinaan ini, ada penambahbaikan yang perlu dibuat oleh pihak kontraktor melibatkan pekerja yang tidak membuat saringan COVID-19 manakala dari segi carta organisasi untuk pasukan COVID-19 pun tidak dinyatakan di tapak pembinaan ini. Jadi, tindakan yang kita ambil ialah dengan memberi nasihat kepada kontraktor terlibat,” katanya.

JTK Pulau Pinang pula membuka kertas siasatan berhubung kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 serta Akta Kerja 1955.

Bekas kontraktor didakwa merompak selepas hadapi tuduhan menipu



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button