Polis Kelantan rampas 101 kg syabu bernilai RM3.6 juta Datuk Shafien Mamat (dua, kanan)

25/02/2021 07:40 PM

KOTA BHARU, 25 Feb — Polis Kelantan merampas 101 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM3.6 juta dalam serbuan di Kampung Lubuk Gong Pasir Mas, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata rampasan itu merupakan yang ketiga untuk bulan ini di Kelantan, membabitkan jumlah keseluruhan 610 kg syabu dengan nilai dianggar RM24 juta.

Pada 8 Feb lalu, polis merampas 402 kg syabu bernilai RM16.1 juta, diikuti 107 kg lagi (RM4.2 juta) pada 22 Feb lepas.

Mengulas kes terbaharu itu, Shafien berkata dadah terbabit ditemukan di dalam longgokan sampah di belakang sebuah rumah di kampung berkenaan dalam serbuan pada 10.30 malam.

“Dadah terbabit yang dibungkus di dalam empat bungkusan hitam dipercayai sengaja diletakkan di situ (dalam longgokan sampah) bagi mengaburi mata pihak polis,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya berdasarkan tiga rampasan besar dalam tempoh kira-kira tiga minggu itu menunjukkan sindiket penyeludupan dadah tetap menjalankan kegiatan mereka di sebalik kawalan ketat pihak keselamatan, khususnya di sempadan Kelantan-Thailand.

“Pihak sindiket ini seolah-olah ‘test market’ di sini,” katanya, menambah polis sedang mengenal pasti beberapa sindiket penyeludupan dadah di sini.

Kesemua kes itu disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Leave a Reply