[VIDEO] Pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh dari belakang

01/03/2021 10:26 PM

 

KUANTAN, 1 Mac — Seorang pekerja kilang di Gebeng maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh dari belakang oleh kenderaan pelbagai guna (MPV) yang disyaki dipandu seorang lelaki di bawah pengaruh alkohol di Jalan Sungai Lembing di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kejadian berlaku pada 1.10 pagi menyebabkan Muhammad Akmal Hakim Misnan, 22, maut di lokasi kejadian manakala motosikal Honda EX5 miliknya “melekat” di hadapan kenderaan yang dipandu lelaki terbabit dan diseret sejauh 1.5 kilometer.

Mangsa yang dikatakan dalam perjalanan dari Bandar Kuantan ke rumah kakaknya di Kampung Padang, di sini disahkan maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala, dengan mayatnya dijumpai oleh pengguna jalan raya.



Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati pemandu Toyota Avanza berusia 26 tahun yang memandu dari arah yang sama telah melanggar belakang motosikal ditunggang mangsa.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta berusia 26 tahun hilang kawalan lalu merempuh motosikal mangsa menyebabkan mangsa melambung dan jatuh di cermin hadapan kereta sebelum terpelanting ke tengah jalan.

“Suspek yang belum bekerja kerana baharu menamatkan kursus dipercayai tidak sedar kemalangan berlaku kerana terus memandu sehingga tiba di rumah keluarganya juga di Kampung Padang,” katanya pada sidang media di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata suspek ditahan di rumahnya beberapa jam selepas kejadian dan ujian awal kandungan alkohol dalam darahnya didapati terlalu tinggi melebihi had yang dibenarkan.



Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti lokasi suspek meminum alkohol, kerana premis perniagaan termasuk yang menjual minuman keras di daerah ini tidak dibenarkan beroperasi sehingga lewat malam ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang.

Semakan awal mendapati Toyota Avanza itu didaftarkan di atas nama bapa suspek, katanya.

Mohamad Noor berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, untuk bedah siasat selepas selesai ujian saringan COVID-19.

Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pekerja kontrak maut dirempuh pemandu mabuk

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker