Tiada Kerjasama Dengan PPBM PRU15 – Ismail Sabri

Ismail Sabri Jelaskan Keputusan MKT Umno

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri menjelaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) jelas menetapkan tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU15.

Katanya, UMNO jelas tentang pendirian PAS yang mengekalkan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) sementara keputusan di peringkat Barisan Nasional (BN) kekal bekerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).

Pendirian MKT UMNO

“Setakat hari ni keputusannya seperti yang diputuskan oleh MKT iaitu bekerjasama sehingga PRU… setakat hari ini. Kalau ada sebarang perubahan akan diumumkan oleh Presiden, tapi setakat hari ini itulah keputusannya,” jelas beliau yang merupakan Menteri Kanan Pertahanan kepada media selepas program menyantuni veteran anggota tentera di Alor Setar, semalam.

Ujarnya, MKT sudah membuat keputusan dan sebarang perubahan akan dibuat dalam mesyuarat terbabit.

“Kita tak boleh buat keputusan berbeza dari keputusan MKT.

“Satu lagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan kita laksanakan dan diadakan pada 27 dan 28 Mac. 27 Mac persidangan sayap dan 28 perhimpunan agung.

Di dalam PAU pun sebarang keputusan boleh dibuat. Ini kerana PAU merupakan autoriti tertinggi di dalam parti. Dia boleh reverse keputusan MKT sekali pun jadi Kita tunggulah… setakat hari ini kekal seperti yang diputuskan,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Bera.

Sebulat Suara

Terdahulu pada 4 Mac lalu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa MKT UMNO telah sebulat suara bersetuju untuk Presiden parti mengutuskan surat kepada Presiden PPBM bagi menyatakan keputusan bahawa tiada kerjasama dengan PPBM dalam PRU-15 dan UMNO berpendapat, kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Terdahulu beliau menjelaskan bahawa satu perjumpaan khas antara UMNO, PPBM dan PAS yang diwakili lima kepimpinan tertinggi bagi setiap parti telah diadakan pada 15 Februari 2021 dan Perdana Menteri merangkap Presiden PPBM, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar UMNO membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama dengan PPBM.

Dipetik dari Umno-Online

Leave a Reply