Hukuman gantung kelindan lori kekal

Hukuman gantung kelindan lori kekal

Hukuman gantung kelindan lori kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang kelindan lori kerana melepaskan tembakan ketika rompakan di lebuh raya pada tahun 2014.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Nor Bee Ariffin, Datuk K Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Ahmad Farid Mohamad Nasir berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya.

Nor Bee berkata, mahkamah berpuas hati tidak berlaku kekhilafan dari segi undang-undang dan fakta dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi ketika mensabitkan Ahmad Farid dengan kesalahan itu.

“Mengenai fakta dan bukti secara keseluruhan, kami mendapati sabitan perayu adalah selamat,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja rencam Khairul Ikhwan Mohammad Kassim yang didakwa bersama-sama Ahmad Farid, terlepas tali gantung apabila mahkamah sama membebas dan melepaskannya daripada pertuduhan susulan keputusan pendakwaan untuk tidak mencabar rayuannya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron memaklumkan mahkamah beliau tidak akan mencabar rayuan Khairul Ikhwan.

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata, keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan Khairul Ikhwan dan menjatuhkan hukuman mati diketepikan kerana mahkamah mendapati sabitannya tidak selamat.

Ahmad Farid dan Khairul Ikhwan, kedua-duanya berusia 30 tahun, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Mei 2019 yang mendapati mereka bersalah atas pertuduhan melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian kepada penjawat awam kanan Nazaruddin Harun ketika melakukan rompakan.

Nazaruddin ditembak di bahagian pinggul ketika insiden rompakan itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 7.5, Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE), Sepang, Selangor pada jam 11.45 malam 5 Januari 2014 mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Ahmad Farid mempunyai satu lagi peluang untuk merayu iaitu kepada Mahkamah Persekutuan. Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk N Sivananthan. – BERNAMA

Hukuman gantung kelindan lori kekal



Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook kami


 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker