Rasuah RM2,000, Lans Koperal Mengaku Tidak Bersalah

 

Seorang Lans Koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini, terhadap dua tuduhan menerima suapan daripada seorang lelaki bagi menyelesaikan kes tangkapan seorang suspek.

Tertuduh, Kamalruzaman Mohd Sanusi, 34, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku Lans Koperal Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang.

Beliau didakwa secara rasuah menerima suapan RM1,000 daripada seorang lelaki kononnya boleh membantu menyelesaikan kes seorang suspek yang ditangkap.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Lorong College Heights 12/2, Taman College Heights, Sikamat, di sini, jam 10 malam, 16 Januari 2019.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, anggota polis itu didakwa menerima suapan RM1,000 daripada lelaki sama kononnya boleh menyelesaikan kes tangkapan suspek sama di sebuah kedai tekstil, Senawang, di sini, jam 10 malam, 18 Januari 2019.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali dan tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dengan dan anggota polis itu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Hakim kemudian menetapkan 29 September hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes – metro

 

 

Leave a Reply