Aminuddin Masih Kukuh Di NS – Anwar Ibrahim

 

Kedudukan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Negeri Sembilan, dan Menteri Besar Negeri Sembilan masih kukuh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan yang beliau pengerusikan hari ini meminta Aminuddin sebagai Pengerusi MPN, untuk memberi perhatian kepada permasalahan yang diutarakan pimpinan negeri, terutamanya keperluan untuk mengukuhkan jentera pilihan raya.

Anwar berkata, mesyuarat juga mencapai konsensus supaya ahli-ahli dan pimpinan kanan perhubungan negeri terus bergerak sebagai satu pasukan, terutamanya dalam merangka usaha menghadapi pilihan raya umum akan datang.

 



“Isu kedudukan MB tidak berbangkit, ada sokongan padu. Tetapi ada dibangkitkan permintaan supaya MB beri sedikit perhatian kepada keperluan parti, cabang-cabang, untuk perkukuh jentera, dalam menghadapi pilihan raya.

“Jadi kita beri ruang untuk mereka berbincang dan perjelaskan,supaya terus dengan padu bersama dengan Exco-exco negeri (dari PKR) dan Timbalan Speaker, untuk di dalam jentera parti, terutama Biro Politik PKR Negeri Sembilan, bagi memudahkan Aminuddin supaya bertindak sebagai MB dan Pengerusi MPN Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat MPN, di sini hari ini.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, mesyuarat itu merupakan siri-siri mesyuarat peringkat negeri yang beliau pengerusikan, termasuk Sabah dan Selangor sebelum ini.

Media pada Ahad melaporkan pimpinan PKR Negeri Sembilan telah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Menurut mereka, Aminuddin tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) di negeri ini untuk terus kekal memerintah.

Selain itu media melaporkan, terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk mengumpulkan akuan bersumpah (SD) bagi menjatuhkan kedudukan Aminuddin.

Mengulas mengenai SD berkenaan, Anwar berkata, beliau difahamkan beberapa individu berkenaan telah menarik balik surat yang mereka tandatangani.

“Kita tidak membincangkan soal (usaha pengumpulan) SD, tetapi kita ada membincangkan sedikit sebanyak tentang kandungannya.

Jadi saya beri ruang kepada mereka untuk memberi penjelasan, dan saya turut menerangkan mengapa Menteri Besar juga perlu berusaha perkukuhkan jentera pilihan raya,” katanya lagi.

awani

Leave a Reply