Video sumpah laknat ‘abang’ mangsa gangguan seksual?

 

Selepas tular beberapa tangkap layar perbualan didakwa melibatkan kes gangguan seksual, hari ini tampil seorang lelaki mendakwa abang kepada mangsa membuat sumpah laknat berhubung kes tersebut.

Dalam video berdurasi 46 saat itu, lelaki berkenaan tampil sebagai saksi bagi membuktikan adiknya menerima mesej serta panggilan video lucah daripada pendakwah terbabit sehingga mengalami kemurungan, tekanan dan cuba membunuh diri.

Video sumpah laknat itu dikongsikan Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung menerusi platform media sosialnya.

Dakwa Firdaus Wong, video sumpah laknat itu dikongsikan abang mangsa selepas pertemuan secara maya menerusi aplikasi Google Meet antara beliau dengan mangsa dan ahli keluarganya.

Firdaus Wong mendakwa, mangsa dan keluarga juga sangat menyokong dan memberikan kata-kata semangat supaya beliau meneruskan usaha menegakkan kebenaran.

Dakwanya, buat masa ini nama dan wajah abang serta mangsa dirahsiakan dahulu.

“Setelah perbualan saya bersama mangsa dan ahli keluarganya menerusi Google Meet selama hampir dua jam kelmarin, ahli keluarga mangsa yang sangat supportive ini meminta saya kongsikan video sumpah laknat mereka.

“Ini adalah video sumpah laknat (mubahalah) daripada abang mangsa sebagai saksi bagi membuktikan adiknya menerima mesej serta panggilan video lucah daripada pendakwah tersebut sehingga mengalami kemurungan, tekanan dan cuba membunuh diri.

“Ini adalah keluarga contoh yang menyokong jihad ahli keluarga mereka yang menerima mesej terkutuk sebegitu. Semoga Allah bantu mereka yang membantu menegakkan kebenaran,” dakwanya dalam hantaran di media sosial.

Semalam, polis mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan ekoran video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi Telegram didakwa melibatkan seorang pendakwah terkenal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Pada masa sama, kata beliau, kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ekoran penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Selasa lalu, Firdaus Wong tampil mendedahkan bukti daripada seorang mangsa serangan seksual individu yang mendakwa sebagai seorang pendakwah terkenal.

Semua bukti iaitu video dan mesej lucah tersebut didedahkan Firdaus Wong menerusi saluran aplikasi Telegram miliknya. – UTUSAN

Leave a Reply