Aktiviti seleweng minyak diesel bersubsidi tumpas

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menyita 17,000 liter minyak diesel bernilai RM36,550 selepas menumpaskan satu kegiatan penyelewengan di Lukut dekat sini, malam tadi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Abd Muis Samsudin, berkata pasukan penguat kuasa kementerian bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, menyerbu sebuah lokasi terpencil di Kampung Sri Parit Lukut, Port Dickson, pada jam 7.55 malam.

Katanya, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat berlaku aktiviti penyelewengan barangan kawalan bersubsidi.

“Ketika serbuan, pasukan operasi mendapati terdapat dua suspek dalam keadaan mencuriga sedang menjalankan kerja pemindahan minyak yang dipercayai diesel daripada sebuah motolori tangki ke sebuah lagi motolori tangki lain menggunakan hos penyambung.

“Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah motolori tangki pertama mendapati terdapat kira-kira 9,000 liter cecair yang dipercayai minyak diesel manakala motolori tangki kedua mengandungi kira-kira 8,000 liter minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek tidak memiliki lesen sah atau dokumen kebenaran untuk urusan barangan kawalan berjadual.

Menurutnya, kesemua minyak berkenaan yang bernilai RM36,550 dirampas bagi tujuan siasatan.

“Turut disita dua motolori tangki serta peralatan lain yang digunakan di tempat serbuan dengan anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini adalah RM116,550,” katanya.

Abd Muis berkata, dua lelaki rakyat tempatan yang masing-masing berusia 36 dan 53 tahun turut ditahan bagi siasatan lanjut.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan serta menyimpan, apa-apa barang kawalan disimpan di mana-mana premis selain dari premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan oleh pengawal bekalan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker