Pukul dan khianat, polis tahan pemandu peribadi

Oleh – Syeikh Baran


Pukul dan khianat, polis tahan pemandu peribadi
Rakaman video menunjukkan seorang lelaki cedera dan tidak sedarkan diri selepas dipercayai dipukul pemandu peribadi di Jalan Memanda 9 dekat susur keluar ke Jalan Ampang di sini, semalam. FOTO Tular

Seorang pemandu peribadi ditahan polis kerana melakukan khianat dan memukul seorang lelaki selepas dipercayai tidak puas hati terhadap lelaki itu yang menunjukkan isyarat jari tengah ketika mahu memasuki lorong tol, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 49 tahun yang juga isteri mangsa.



Menurutnya, dalam kejadian jam 1.20 tengah hari wanita itu bersama suami berusia 47 tahun yang menaiki kereta Mercedes berhenti di Jalan Memanda 9 berhampiran susur keluar ke Jalan Ampang.

“Datang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dipandu seorang lelaki yang berhenti di hadapan kereta mereka sebelum lelaki itu keluar dan mengetuk cermin kereta pengadu.

“Suspek memarahi suami pengadu iaitu mangsa dan terus memukul mangsa sehingga terjatuh serta tidak sedarkan diri.

“Suspek juga menyepak pintu kereta mangsa menyebabkan kerosakan dan kerugian kira-kira RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Beliau berkata, mangsa yang cedera di bahagian muka mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

Bertindak atas laporan, katanya, polis berjaya mengesan dan menahan suspek berusia 44 tahun di Jalan Kampung Melayu Ampang di sini, pada jam 10 malam.

“Soal siasat mendapati punca kejadian kerana mangsa menunjukkan isyarat tangan kepada suspek yang memandu Toyota Alphard di hadapan kereta mangsa di lorong Smart Tag berhenti mengejut dan beralih ke lorong Touch n Go,” katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau.



Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 30 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sumber – HARIAN METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading