Remaja maut selepas lulus ujian menunggang motosikal

Remaja maut selepas lulus ujian menunggang motosikal
Muhammad Munzir maut dalam kemalangan dekat Jalan Baru Baling-Kupang, hari ini. – Foto ihsan pembaca

Remaja maut selepas lulus ujian menunggang motosikal

BALING: Pelajar Terbaik Sekolah Menengah Agama Kedah 2020 maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Baru Baling-Kupang berdekatan Charok Nau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa Muhammad Munzir Abdul Razak, 19, berasal dari Taman Pekatra Indah, Simpang Empat, Pulau Pinang, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menduduki ujian menunggang motosikal kelas B2.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata mangsa yang juga bekas pelajar Yayasan Khairiah, Kupang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Katanya, mangsa dikatakan baru selesai menduduki ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menunggang motosikal kelas B2 di sekolah memandu di pekan Baling dan lulus ujian berkenaan pada sebelah pagi.

“Sebaik mendapat keputusan ujian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda untuk pulang ke rumahnya di Pulau Pinang sebelum bertembung MPV Toyota Unser di simpang empat berdekatan Charok Nau.

“Ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dikatakan keluar simpang secara mengejut, manakala MPV dari arah pekan Baling sedang melalui jalan itu menyebabkan kedua-duanya berlanggar,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Munzir menerima pengiktirafan sebagai pelajar terbaik Kedah selepas mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 selain turut berjaya melengkapkan pengajian tahfiz al-Quran.

Shamsudin berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa dikatakan melambung dan jatuh di laluan bertentangan selain mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Jenazah mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim bagi menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum proses bedah siasat dapat dilakukan.

“Pemandu MPV berusia 49 tahun berasal dari Kampung Kuala Chenerai, Kuala Pegang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply