WHO gesa perjanjian antarabangsa baharu

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak perjanjian antarabangsa untuk membantu mencegah dan memerangi pandemik masa depan.

Desakan dibuat ketua pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus di tengah-tengah kemunculan varian baharu COVID-19 Omicron yang membimbangkan.

Jelas Dr Tedros, masih banyak yang tidak diketahui tentang betapa mudahnya jangkitan dan gejala teruk oleh varian Omicron.

“Satu perkara yang kita pelajari adalah tiada wilayah, negara, komuniti dan individu yang selamat sehingga kita semua selamat.

“Kemunculan varian Omicron yang sangat bermutasi menunjukkan betapa bahaya dan tidak menentunya keadaan kita.

“Afrika Selatan dan Botswana patut menerima pujian kerana mengesan, menyusun dan melaporkan varian ini, bukannya dihukum.

“Sesungguhnya, Omicron menunjukkan sebab kenapa dunia memerlukan persetujuan baharu mengenai wabak.

“Sistem semasa kita menghalang mana-mana negara daripada memaklumkan negara lain tentang ancaman yang pasti akan tiba juga di negara mereka,” kata Dr Tedros.

Menurut beliau, kemunculan varian Omicron yang sangat bermutasi menunjukkan dunia masih dalam keadaan tidak menentu.

Justeru, beliau menggesa perjanjian konkrit untuk menentukan komitmen dunia menuju ke depan.

Katanya, maklumat berkaitan varian tersebut terutama berkaitan mudah menular, gejala lebih buruk, risiko penembusan vaksin sedang dikumpulkan.

Dr Tedros memberi amaran dunia perlu berjaga-jaga dengan ancaman koronavirus dan kemunculan varian Omikron adalah satu lagi peringkatan bahawa COVID-19 belum berakhir.

Dr Tedros menyertai pemimpin seperti Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Chile Sebastian Pinera untuk sesi khas bagi negara anggota agensi kesihatan PBB di Perhimpunan Kesihatan Sedunia.

Perhimpunan itu bertujuan untuk merangka pelan tindakan global ke arah mencegah, menyediakan dan bertindak balas terhadap wabak masa depan.

awani

Leave a Reply