KPDNHEP jangan kompromi – Ismail Sabri

Ismail Sabri-KPDNHEP

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan penguatkuasaan tegas tanpa kompromi terhadap pihak yang memanipulasi harga bahan mentah makanan.

Kata beliau, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) pula akan membantu dengan melambakkan bekalan dalam pasaran supaya harga bahan mentah dapat diturunkan.

“Saya minta KPDNHEP melakukan penguatkuasaan dengan tegas, saya tidak mahu ada kompromi kepada mereka yang ambil kesempatan memanipulasi dengan menaikkan harga sesuka hati.

“Mafi boleh bantu dengan melambakkan produk di pasaran, seperti kita tahu prinsip ekonomi penawaran berlebihan tentu saja membolehkan harga diturunkan,” katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya hari ini.


Tambah Ismail Sabri, beliau juga meminta Mafi dengan kerjasama KPDNHEP untuk memastikan kenaikan harga bukan disebabkan manipulasi oleh peniaga dan pemborong.

Kata beliau, ini kerana, tinjauan harga di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya mendapati kenaikan harga juga berpunca daripada terlalu banyak rantaian bekalan dan di setiap peringkat rantaian, pihak berkaitan meraih keuntungan.

“Ayam sebagai contoh, dari ladang harga sekian, pemborong dan pihak pengangkutan ada kos, kilang ayam pun ada kos.

“Bila sampai di sini harga sudah RM8.30 sekilogram, peniaga perlu ambil keuntungan, tak boleh salahkan mereka kerana rantaian bekalan banyak,” katanya.

Berikutan itu, katanya, beliau memberitahu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ronald Kiandee, supaya melihat semula model Jihad Memerangi Orang Tengah yang pernah dilaksanakan sebelum ini supaya rantaian bekalan dapat ‘dipotong’ untuk mengurangkan harga.

Kata Ismail Sabri, harga jualan di pasar tani juga perlu dipantau kerana ia diperkenalkan untuk mengurangkan pembabitan orang tengah sekali gus menurunkan harga.

“Pasar tani sepatutnya tidak berlaku banyak rantaian yang boleh dimanipulasi orang tengah kerana tujuannya dari ladang, terus ke pasar tani dan ke meja makan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut meminta Mafi membuat pemantauan terhadap insentif yang diperkenalkan kerajaan untuk membantu petani seperti peruntukan RM62 juta sebagai tambahan insentif racun dan baja selain pinjaman mudah berjumlah RM200 juta sebagai bantuan modal kepada penternak ayam.

“Jangan kita bagi insentif tetapi harga tak berubah. Sebelum ini ramai penternak ayam mengatakan mereka kekurangan modal kerana sudah setahun lebih tutup akibat pandemik Covid-19.

“Jadi mereka minta kita bantu dan kerajaan sudah meluluskan pinjaman mudah RM200 juta tanpa faedah berserta moratorium enam bulan supaya alasan mereka berkaitan kekurangan modal tiada lagi,” katanya.

Metro

Leave a Reply