Zamani tahan sakit demi konsert

 

Meskipun berdepan masalah kesihatan dikenali sebagai skoliosis atau tulang belakang melengkung, vokalis kumpulan Slam yang popular pada era 1990-an, Zamani nekad menjayakan Konsert Slam Mentari Muncul Lagi, Februari tahun depan.

Biarpun belum pulih sepenuhnya, Zamani atau nama sebenar, Zamani Ibrahim, 50, yakin mampu menjayakan persembahan itu dan menghiburkan peminat yang ternanti-nanti konsert yang sudah setahun tertangguh.

“Penyakit itu masih ada. Disebabkan keadaan ini membabitkan saraf dan jika terkepit, kesakitan masih dapat dirasai. Keadaan itu pasti mengganggu saya untuk membuat persembahan.

“Namun, saya tidak mahu menjadikan kesakitan itu sebagai alasan Saya bersyukur kerana ada pihak yang bermurah hati memberikan saya katil yang boleh membantu merawat penyakit ini dan keadaan sekarang semakin beransur pulih.

“Sekarang saya menjalani rawatan tradisional sebagai alternatif. Insya-Allah dalam tempoh tiga bulan menjelang konsert ini, saya mampu untuk beraksi dan mempunyai stamina yang ampuh untuk beraksi dua jam,” katanya pada sidang media Konsert Slam Mentari Muncul Lagi anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara, baru-baru ini.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Konsert Slam Mentari Muncul Lagi, Shirazdeen Karim berjanji membantu penyanyi yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu dalam segala aspek demi kelancaran acara.

“Sebagai penganjur, kami ambil berat keperluan artis. Ketika menganjurkan konsert untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, saya sediakan guru vokal melatihnya,” katanya.

Shirazdeen berkata, kerjasama dengan Slam bermula selepas mereka menandatangani kontrak menjayakan konsert itu.

“Justeru, kami akan bantu Zamani dalam segala sudut termasuk memastikan tahap kesihatan dan stamina berada dalam keadaan baik.



“Ini penting kerana kami mahu memberikan hiburan terbaik kepada penonton,” katanya.

Sementara itu, Zamani mendedahkan pernah kecewa hingga memutuskan tidak mahu menyanyi lagi apabila album pertama Slam gagal mendapat sambutan memberangsangkan, ketika dilancarkan pada 1994.

Biarpun album yang mempertaruhkan dua lagu hit iaitu Malam dan Semalam serta Buat Seorang Kekasih terjual 40,000 unit, namun, ketika itu, angka berkenaan masih dianggap gagal.

“Selepas kecewa dengan nasib menimpa Slam, saya mencari punca rezeki lain dengan bekerja di sebuah syarikat penerbitan.

“Bagaimanapun, pihak pengurusan ketika itu memujuk dan memberi kata-kata semangat agar saya meneruskan bidang nyanyian.

“Mereka yakin Slam pasti menyerlah seperti kumpulan lain, suatu hari nanti.

“Slam kemudian tampil dengan album kedua, Kesan Terbukti. Alhamdulillah, album itu berjaya menaikkan nama kami,” katanya.

Konsert Slam Mentari Muncul Lagi diadakan di Dewan Plenari, KLCC pada 12 Februari 2022. Tiket berharga serendah RM130 hingga RM700 boleh didapati di laman web mytricket asia




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading