Tidak sedar ‘hamil’ 35 tahun
Seorang wanita warga emas di Algeria tidak menyedari kewujudan janin dalam rahimnya sejak 35 tahun lalu sehingga dia melakukan ujian imbasan X-ray, baru-baru ini.
The Sun melaporkan, ujian imbasan menunjukkan imej janin yang sudah tidak bernyawa dan menjadi keras di dalam rahim wanita berusia 73 tahun berkenaan.
LITHOPEDIAN
Janin dipanggil lithopedion itu berada dalam tubuh wanita berkenaan selama beberapa dekad.
Ia berusia tujuh bulan dengan berat dua kilogram (kg).
Meskipun begitu, wanita berkenaan menikmati kualiti hidup yang baik dan tidak mengalami kesan sampingan akibat janin yang sudah keras itu, lapor Al Arabiya.
Wanita itu pernah menjalani rawatan perubatan sebelum ini, namun doktor tidak menemui bayi dalam kandungan.
Lithopedion tercipta apabila kehamilan terbentuk di dalam perut dan bukannya di dalam rahim.
Lazimnya, kehamilan gagal kerana janin tidak mempunyai bekalan darah yang mencukupi dan tiada cara untuk badan mengeluarkan janin.
Akibatnya, janin berubah menjadi ‘batu’ kerana proses imun yang sama seperti apabila tubuh melindungi seseorang daripada sebarang objek asing.
Dr Kim Garcsi, dari Pusat Perubatan Kes Hospital Universiti di Cleveland berkata, kalsifikasi tisu melindungi ibu daripada jangkitan dan ‘janin batu’ itu boleh kekal di dalam perut tanpa dikesan selama beberapa dekad.
“Kebanyakan orang mengesannya namun tidak melakukan apa-apa selepas mengetahuinya kerana tiada gejala,” kata Dr Garcsi kepada ABC News.
LAPORAN JOURNAK SOCIETY of MEDICINE
Menurut laporan tahun 1996 yang diterbitkan dalam Journal of the Royal Society of Medicine, hanya 290 kes lithopedion pernah didokumentasikan.
Paling awal adalah seorang wanita Perancis berusia 68 tahun Colombe Chatri.
Ia dikesan ketika bedah siasat mayat wanita itu pada 1582.
Dia didapati membawa ‘bayi batu’ yang berkembang sepenuhnya di dalam rongga perutnya.
Chatri, yang perutnya dikatakan bengkak keras dan sakit sepanjang hidupnya ‘hamil’ janin itu selama 28 tahun.
Pada 2013, seorang wanita warga emas Colombia terkejut apabila diberitahu doktor bahawa sakit pelvisnya kerana ‘bayi batu’ berusia 40 tahun.
Selain itu, pada 2009, seorang wanita Cina Huang Yijun, 92, mengeluarkan ‘bayi batu’ yang dikandungnya selama lebih setengah abad.
Agensi