Harga minyak dunia melonjak tahun ini

 

Harga minyak mentah dunia mencatatkan peningkatan tahunan terbesar dalam tempoh lebih sedekad, dengan pasaran ketika ini tidak mengendahkan kemunculan varian virus Omicron.

Pelaksanaan vaksin mempercepatkan lagi pembukaan semula ekonomi, sekali gus mengukuhkan kenaikan harga minyak mentah.

Selain itu, peningkatan harga gas asli merangsang permintaan lebih tinggi bagi produk daripada minyak, manakala Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) berterusan untuk hanya menambah sedikit bekalan ke dalam pasaran.

Goldman Sachs Group Inc mengunjurkan harga minyak akan terus meningkat tahun depan.

Kurangnya reaksi pasaran terhadap Omicron memberikan petanda baik kepada permintaan untuk memulakan 2022, demikian menurut penganalisis kanan di Danske Bank A/S, Jens Pedersen.

“Ia terus membayangkan bahawa OPEC+ membuat keputusan yang betul untuk kekal dengan rancangannya terus menormalisasikan pengeluaran.”

OPEC dan sekutu termasuk Russia dijadual bertemu minggu depan bagi menilai keadaan pasaran dan menyemak semula dasar bekalan menuju ke 2022.

Bagi 2021, OPEC mengembalikan semula kapasiti yang dihentikan sebelum ini secara berperingkat, dengan menjelaskan bahawa pendekatan secara berhati-hati itu adalah mengikut merit.

Perunding di JBC Energy menganggarkan bahawa anggota OPEC meningkatkan pengeluaran sebanyak 195,000 tong sehari pada Disember, diterajui oleh kenaikan di Arab Saudi.

Harga minyak meningkat menuju ke hari dagangan terakhir 2021 apabila pasaran mempertimbangkan beberapa siri penutupan bekalan dengan kuota import lebih kecil di China, pembeli minyak mentah terbesar di dunia.

West Texas Intermediate ditutup 0.6 peratus lebih tinggi pada Khamis, peningkatan hari ketujuh berturut-turut yang menjadikan tempoh kenaikan paling lama dalam masa 10 bulan.

Harga minyak kembali meningkat sejak sebulan lalu selepas merudum pada akhir November, apabila kebimbangan berhubung sekatan ekonomi global susulan kemunculan varian Omicron membimbangkan pasaran.

“Respon pasaran mencerminkan penerimaan bahawa aktiviti ekonomi kekal agak kukuh di sebalik pandemik jelas menjadi lebih buruk,” kata penganalisis Raymond James & Associates Inc, Pavel Molchanov.

“Tabiat pengguna dan ekonomi keseluruhan berada dalam keadaan baik, justeru itu yang lebih penting bagi permintaan minyak.”

Dalam awal sesi dagangan, minyak mentah berada dalam tekanan apabila China mengurangkan jumlah kuota import yang diberikan kepada syarikat penapisan persendirian dalam usahanya untuk memperbaharui sektor minyak dan gas.

Beijing meluluskan import 109 juta tan minyak, 11 peratus lebih kecil berbanding tahun sebelumnya, bagi penghantaran pertama 2022, demikian menurut beberapa pegawai daripada syarikat yang menerima notis mengenai perkara itu.

Penurunan harga minyak merencatkan rali yang dicetuskan oleh beberapa siri gangguan bekalan di Ecuador, Libya dan Nigeria.

Bagaimanapun, terminal Forcados di Nigeria beroperasi semula pada Rabu lalu.

Simpanan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) juga menguncup buat minggu kelima berturut-turut, demikian menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) yang dikeluarkan pada Rabu.

-Bloomberg



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button