19 kes kematian akibat COVID-19

 

Sebanyak 19 kematian akibat Covid-19 direkodkan pada hari kedua tahun 2022, semalam dengan lima daripadanya dilaporkan di Selangor.

Laman sesawang COVIDNOW melaporkan empat daripada kes kematian dilaporkan setakat tengah malam tadi, membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Laporan itu turut mendedahkan 31,532 kes kematian direkodkan akibat COVID-19 di negara ini, dengan seramai 6,362 pesakit adalah kes BID.

Perincian data dalam laman sesawang GitHub Kementerian Kesihatan (KKM) pula menunjukkan, kes kematian turut dilaporkan di Terengganu membabitkan empat mangsa; Johor (tiga); Sabah (dua) dan masing-masing satu kematian di Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Ketika ini, bilangan kes aktif adalah sebanyak 40,606 pesakit, iaitu seramai 33,393 individu atau 82.2 peratus menjalani kuarantin di rumah; sebanyak 3,460 kes menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan 3,469 lagi dirawat di hospital.

Sementara itu, sebanyak 93,017 dos vaksin diberikan semalam, iaitu 91,436 dos penggalak; sebanyak 737 dos pertama dan seramai 844 individu melengkapkan dua dos pelalian semalam.

Ketika ini, sebanyak 97.7 peratus populasi dewasa di negara ini melengkapkan vaksinasi manakala bagi remaja, 87.6 peratus daripada mereka melengkapkan vaksinasi.

BH



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button